Penghijauan sekolah di Malaysia: Satu tinjauan sistematik ke arah pembangunan lestari
Keywords:
Penghijauan sekolah, Pembangunan lestari, Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD), Matlamat Pembangunan Lestari (SDG),, Kajian literatur sistematik, Pendidikan alam sekitarAbstract
__________________________________________________________________
Abstrak: Kertas konsep ini membincangkan pelaksanaan penghijauan sekolah (greening school) di Malaysia dalam menyokong agenda pembangunan lestari selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 13 (Tindakan Iklim) dan SDG 15 (Kehidupan di Darat). Walaupun pelbagai inisiatif kelestarian telah diperkenalkan, pelaksanaan penghijauan sekolah masih tidak menyeluruh dan kurang berasaskan kerangka teori serta konseptual yang jelas. Kajian ini menggunakan pendekatan kajian literatur sistematik (Systematic Literature Review, SLR) dengan menganalisis artikel daripada pangkalan data terpilih bagi mengenal pasti konsep, dimensi, pelaksanaan serta cabaran penghijauan sekolah. Analisis dilakukan menggunakan kaedah analisis tematik untuk mensintesis dapatan kajian terdahulu. Dapatan kajian menunjukkan bahawa penghijauan sekolah merupakan pendekatan multidimensi yang melibatkan integrasi aspek kognitif, sosio-emosi, tingkah laku dan persekitaran. Namun, pelaksanaan di Malaysia masih tertumpu kepada aspek fizikal dan operasi tanpa pengintegrasian dimensi pedagogi secara menyeluruh. Selain itu, ketiadaan kerangka konseptual yang standard serta kekangan sumber dan kepakaran dikenal pasti sebagai cabaran utama. Sehubungan itu, kajian ini mencadangkan pembangunan kerangka penghijauan sekolah yang holistik berasaskan Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD) bagi memperkukuh pelaksanaan pendidikan lestari di Malaysia. Implikasi kajian ini penting dalam membantu pembuat dasar dan institusi pendidikan merangka strategi yang lebih sistematik ke arah pembangunan lestari.










