Integrasi realiti terimbuh dalam pembelajaran dan pengajaran (PdP) geometri di sekolah rendah: Memperkasakan dasar pendidikan digital
Keywords:
Realiti terimbuh, integrasi realiti terimbuh, pengajaran dan pembelajaran geometri, Dasar Pendidikan DigitalAbstract
Realiti Terimbuh (Augmented Reality, AR) merupakan satu pendekatan inovatif yang dilihat berupaya meningkatkan pemahaman konsep abstrak dalam geometri seperti bentuk tiga dimensi, dimensi spasial dan simetri melalui manipulasi objek maya dalam dunia nyata dengan pengalaman visual yang interaktif. Meskipun penggunaan AR dalam proses pembelajaran dan pengajaran dilihat mampu meningkatkan motivasi, penglibatan serta hasil pembelajaran murid, ia juga memudahkan penyampaian guru menerusi bahan pengajaran interaktif yang boleh diakses melalui peranti digital. Kertas konsep ini bertujuan untuk melihat keperluan dan potensi integrasi teknologi AR dalam PdP geometri di sekolah rendah selaras dengan agenda Dasar Pendidikan Digital oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, 2023. Kertas konsep ini turut mengupas pelbagai isu dalam pendidikan masa kini seperti kemerosotan pencapaian Malaysia dalam domain geometri berdasarkan laporan Programme for International Students Assessment (PISA) 2022 dan Trend in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2023, kepentingan dan cabaran penggunaan AR dalam geometri di peringkat sekolah rendah. Walaupun pelbagai cabaran dikenal pasti sama ada melibatkan murid, guru, sekolah mahupun KPM, pelaksaanaan strategi seperti latihan profesional guru, pembangunan platform sumber terbuka serta perkongsian pintar antara sektor awam dan swasta dicadangkan dan dibincangkan sebagai penambahbaikan. Implikasi kajian ini menunjukkan bahawa integrasi AR bukan sahaja merapatkan jurang pencapaian pendidikan negara dengan negara serantau, tetapi turut menyokong perubahan pedagogi dalam memacu sistem pendidikan yang lebih berimpak tinggi seterusnya memenuhi aspirasi Dasar Pendidikan Digital.










