Perbandingan kurikulum Reka Bentuk dan Teknologi Malaysia dan United Kingdom berasaskan analisis pedagogi
Keywords:
Reka Bentuk dan Teknologi, Analisis Pedagogi, Kurikulum Perbandingan, Kemahiran Berfikir Aras Tinggi, Pembelajaran Berasaskan Projek, Pendidikan Teknologi Sekolah RendahAbstract
Pendidikan Reka Bentuk dan Teknologi memainkan peranan kritikal dalam membentuk murid yang kreatif, inovatif, dan mampu menyelesaikan masalah dalam konteks ekonomi berasaskan pengetahuan abad ke-21. Artikel ini menjalankan analisis perbandingan kurikulum Reka Bentuk dan Teknologi di Malaysia dan Design and Technology di United Kingdom dengan meneliti tiga dimensi utama iaitu perkembangan sejarah dan falsafah kurikulum, kandungan dan struktur kurikulum, serta pendekatan pedagogi. Kajian menggunakan pendekatan analisis dokumen kurikulum rasmi dan sorotan literatur sistematik terhadap kajian empirikal yang berkaitan dengan kedua-dua sistem pendidikan. Dapatan menunjukkan bahawa kedua-dua negara berkongsi aspirasi yang serupa untuk membangunkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi dan kemahiran abad ke-21, namun berbeza secara fundamental dari segi falsafah organisasi dan pendekatan pedagogi. Malaysia mengutamakan struktur domain yang terperinci dan bimbingan terstruktur yang menjamin konsistensi dan ekuiti merentasi sekolah, manakala United Kingdom mengutamakan pendekatan berasaskan proses reka bentuk yang bersepadu dengan fleksibiliti tinggi dan autonomi guru yang lebih luas. Perbandingan ini mendedahkan tiga paradoks utama iaitu paradoks kematangan yang menunjukkan pengalaman panjang tidak semestinya menyelesaikan cabaran pelaksanaan, paradoks standardisasi yang mendedahkan ketegangan antara ekuiti dan relevan kontekstual, serta paradoks Kemahiran Berfikir Aras Tinggi yang menunjukkan jurang antara retorik kurikulum dan realiti pelaksanaan adalah fenomena universal. Kajian ini turut mengemukakan hipotesis konvergensi bahawa kedua-dua sistem sedang bergerak ke arah model structured flexibility yang menggabungkan kekuatan masing-masing. Dapatan kajian memberikan sumbangan kepada kerangka penjajaran konstruktif dan Technological Pedagogical Content Knowledge dalam konteks pendidikan teknologi merentasi budaya yang berbeza, serta menawarkan asas empirikal bagi memperkukuh amalan pedagogi RBT di sekolah rendah.










