Identiti dan ketidaksamarataan sosial dalam masyarakat Arab Jahiliah: Analisis puisi Antarah Ibn Shaddad
Keywords:
Antarah ibn Shaddad, Masyarakat Arab Jahiliah, Identiti Sosial, Ketidaksamarataan Keturunan, Stratifikasi Sosial, Sosiologi SasteraAbstract
Dalam masyarakat Arab Jahiliah, kedudukan individu banyak ditentukan oleh nasab, keturunan dan struktur kesukuan yang berhierarki, sehingga mewujudkan bentuk ketidaksamarataan sosial yang jelas. Keadaan ini tercermin dalam pengalaman hidup Antarah ibn Shaddad, seorang penyair dan pahlawan berketurunan campuran yang berhadapan dengan diskriminasi status walaupun memiliki keberanian dan keunggulan peribadi. Kajian ini bertujuan menganalisis bagaimana puisi Antarah berfungsi sebagai medium pembinaan identiti dan perundingan maruah dalam masyarakat yang menilai seseorang berdasarkan garis keturunan. Menggunakan pendekatan sosiologi sastera dan analisis teks secara tematik terhadap bait-bait terpilih daripada Diwan Antarah, kajian ini meneliti representasi konflik sosial, usaha legitimasi diri, serta peranan simbolik Abla dalam pembentukan kesedaran moral penyair. Dapatan menunjukkan bahawa puisi Antarah bukan sekadar ekspresi estetika atau naratif peribadi, tetapi merupakan wacana sosial yang mencabar stratifikasi keturunan dan menegaskan nilai manusia berasaskan keberanian, akhlak dan pengalaman hidup. Kajian ini menyimpulkan bahawa karya Antarah mencerminkan pergelutan antara individu dan struktur sosial dalam masyarakat Arab pra-Islam, sekali gus memperlihatkan bagaimana sastera berfungsi sebagai ruang simbolik untuk menuntut pengiktirafan, keadilan dan identiti kemanusiaan yang lebih setara.










