Seni kaligrafi Islam: Satu resensi koleksi penulisan di Muzium Kesenian Islam Malaysia
Keywords:
Kaligrafi Islam, khazanah Tamadun Islam, Sorotan Literatur Sistematik, Muzium Kesenian Islam MalaysiaAbstract
Seni kaligrafi Islam merupakan satu daripada cabang kesenian yang paling signifikan dalam khazanah tamadun Islam, khususnya kerana hubungannya yang intim dengan al-Qur’an sebagai wahyu ilahi, di samping mengandungi nilai estetika, simbolisme dan spiritual yang mendalam. Kaligrafi Islam tidak berfungsi semata-mata sebagai medium penulisan teks, bahkan berkembang sebagai suatu bentuk ekspresi visual dan budaya yang mencerminkan kerangka pemikiran, kehalusan estetika serta identiti masyarakat Islam merentas pelbagai ruang dan zaman sejarah. Makalah ini merupakan sebuah kajian Sorotan Literatur Sistematik (SLR) yang memberi tumpuan kepada koleksi kaligrafi Islam yang didokumentasikan oleh Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM). Tujuan utama penulisan ini meneliti pengaruh faktor budaya dan geografi terhadap pembentukan gaya kaligrafi dalam koleksi muzium tersebut, di samping menganalisis variasi gaya, bentuk dan pendekatan estetik kaligrafi Islam yang dipamerkan dalam koleksi MKIM. Kajian ini dilaksanakan menerusi pendekatan Sorotan Literatur Sistematik dengan meneliti, menyaring dan menyusun maklumat daripada buku-buku pameran, katalog muzium serta terbitan akademik yang berkaitan secara langsung dengan koleksi kaligrafi MKIM. Hasil kajian mendapati bahawa koleksi kaligrafi Islam di MKIM memperlihatkan kepelbagaian tradisi penulisan Islam yang terbentuk melalui interaksi kompleks antara faktor budaya, wilayah dan kronologi sejarah. Wacana ini sekaligus menyumbang kepada pemahaman yang lebih mendalam tentang pembentukan identiti visual Islam melalui seni kaligrafi, serta menegaskan peranan MKIM sebagai institusi rujukan penting dalam usaha pendokumentasian, pemeliharaan dan pendidikan kesenian Islam di Malaysia.










