Pendidikan dalam drama cinta: Menerokai penerbitan nilai mesej berunsurkan didikan dalam kalangan penggiat industri penyiaran telefilem Melayu di Malaysia
Keywords:
Drama Televisyen Melayu, Tema Cinta, Nilai Didikan, Tanggungjawab Sosial Media, Budaya PopularAbstract
Kajian ini meneliti dominasi tema cinta dalam penerbitan telefilem Melayu di Malaysia serta implikasinya terhadap penyampaian nilai didikan, sosial dan budaya kepada masyarakat. Dalam landskap industri drama televisyen tempatan, tema cinta sering dijadikan teras penceritaan kerana daya tarikan popularnya, namun kecenderungan kepada formula naratif yang berulang dan stereotaip menimbulkan persoalan tentang fungsi pendidikan dan tanggungjawab sosial media. Objektif kajian ini adalah untuk menganalisis bagaimana tema cinta dipaparkan dalam telefilem Melayu terpilih dan bentuk nilai didikan yang dikonstruksikan melalui penceritaan tersebut; menilai pandangan penggiat industri drama televisyen terhadap kesesuaian dan potensi tema cinta sebagai medium penyampaian mesej didikan; serta mengenal pasti faktor kreatif, institusi dan komersial yang mempengaruhi keupayaan penggiat industri dalam menerapkan nilai didikan melalui drama bertemakan cinta. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui analisis kandungan terhadap telefilem Melayu terpilih dan temu bual separa berstruktur bersama penggiat industri drama televisyen. Analisis memberi tumpuan kepada struktur naratif, pembinaan konflik, resolusi cerita serta proses pengekodan nilai didikan dalam kerangka hiburan. Dapatan kajian menunjukkan drama cinta Melayu berfungsi dalam dua peranan utama, iaitu sebagai medium hiburan popular dan saluran penyampaian nilai sosial secara terbatas. Walaupun mesej didikan diletakkan secara sedar melalui simbol dan naratif, sering wujud konsensus dengan tekanan komersial, norma genre romantik dan kekangan institusi penyiaran. Nilai didikan cenderung muncul sebagai elemen tambahan dan bukan struktur teras penceritaan. Kajian ini menyimpulkan bahawa penerapan nilai didikan yang lebih bermakna dalam drama cinta Melayu memerlukan keseimbangan antara tuntutan pasaran, kebebasan kreatif dan komitmen terhadap tanggungjawab sosial media.










