Pembuktian melalui ujian DNA dalam kes-kes jenayah di Mahkamah Syariah Malaysia
Keywords:
Ujian DNA, Mahkamah Syariah Malaysia, Jenayah Syariah, Qarinah, Bukti SaintifikAbstract
Perkembangan pesat dalam bidang sains dan teknologi telah membawa kepada penemuan Deoxyribonucleic Acid (DNA). Penemuan ini telah merubah landskap dunia khususnya dalam bidang perundangan dan siasatan jenayah. Peranan DNA yang unik telah membantu menyelesaikan kes-kes jenayah di Mahkamah Sivil dengan efektif dan cepat. Sungguhpun begitu, senario berbeza terjadi di Mahkamah Syariah yang mana pemakaiannya agak terhad berbanding di Mahkamah Sivil. Sekiranya isu ini berterusan, ia akan menyebabkan pembuktian sesuatu kes menjadi sukar terutamanya bagi kes-kes yang tiada saksi atau pengakuan seterusnya menyebabkan keadilan tidak dapat ditegakkan. Justeru, kajian ini dijalankan untuk mengkaji ujian DNA dari perspektif hukum syarak serta menganalisis pemakaian bukti saintifik dalam sistem perundangan syariah di Malaysia. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dengan strategi kajian kes melibatkan beberapa kes terpilih di Malaysia. Data yang diperoleh kemudiannya dianalisis menggunakan kaedah analisis kandungan dan analisis dokumen secara tematik. Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat penerimaan bersyarat terhadap bukti saintifik dalam Mahkamah Syariah di Malaysia. Walau bagaimanapun, penerimaan ini tertakluk kepada prinsip hukum syarak. Dari segi teori kajian ini menyumbang kepada literatur fiqh forensik khususnya di Malaysia. Sebagai implikasi, kajian ini mencadangkan penambahbaikan dari segi undang-undang dengan meminda Akta Keterangan Mahkamah Syariah bagi mengiktiraf bukti saintifik secara lebih jelas. Di samping itu, latihan profesional kepada pengamal undang-undang perlu giat dilakukan agar mereka mempunyai pemahaman yang kukuh berkaitan bukti saintifik, sekaligus dapat meningkatkan profesionalisme dan keadilan dalam sistem perundangan Islam di Malaysia.










