Konsep gamifikasi dalam bidang sirah berdasarkan model pengajaran Ibn Khaldun
Keywords:
Gamifikasi, Model Pengajaran Ibn Khaldun, Sirah, Pendidikan Islam, Pembelajaran InteraktifAbstract
Pengajaran Sirah dalam matapelajaran Pendidikan Islam sering kali berdepan dengan cabaran dari segi kaedah penyampaian yang bersifat konvensional. Hal ini menyebabkan murid kurang minat. Pengajaran melalui kaedah gamifikasi dengan model pengajaran Ibn Khaldun dalam pengajaran Sirah peringkat sekolah rendah dikaji dalam kajian ini adalah bertujuan untuk meneroka potensinya sebagai pendekatan pedagogi yang inovatif. Metodologi kajian menggunakan analisis kandungan kajian literatur terhadap sumber primer (karya Ibn Khaldun) serta sumber sekunder (artikel akademik dan kajian lepas). Dapatan kajian menunjukkan bahawa prinsip pengajaran Ibn Khaldun seperti At-Ta’lim bil Tadarruj (pengajaran beransur-ansur), At-Ta’lim bil Mushahadah (pengajaran secara pemerhatian), At-Tadrib bil Tikrar (latihan berulang-ulang), At-Ta’lim bil Mujalasah (interaksi sosial) dan At-Ta’lim bil ‘Adah (melalui pembudayaan) selari dengan kaedah gamifikasi termasuk sistem ganjaran, cabaran berperingkat, dan aktiviti berkumpulan. Kajian ini mencadangkan gabungan kedua-dua pendekatan dalam lima fasa utama pengenalan berperingkat, pengajaran beransur-ansur, pengajaran secara pemerhatian, latihan berulang-ulang, interaksi sosial dan melalui pembudayaan. Dapatan analisis menunjukkan bahawa pendekatan ini berpotensi untuk meningkatkan minat, pemahaman dan pengetahuan murid terhadap Sirah, di samping menangani tuntutan pendidikan abad ke-21 yang menekankan interaktiviti yang lebih tinggi. Implikasi kajian mencadangkan perlunya ujian empirikal melalui kajian tindakan bagi memastikan keberkesanan model ini dalam konteks pendidikan Malaysia. Secara keseluruhan, kajian ini menyumbang kepada pembaharuan pedagogi dalam pendidikan Islam dengan memadukan khazanah ilmu tradisional dan teknologi moden.










