Sosialisasi syariat dalam masyarakat Islam: Analisis terhadap adat kematian masyarakat Melayu Pahang
Keywords:
adat kematian, adat resam, fiqh watan, Islamisasi, sosialisasiAbstract
Artikel ini membincangkan tentang proses sosialisasi syariat Islam dalam adat resam masyarakat dengan menfokuskan terhadap adat kematian masyarakat Melayu di negeri Pahang melalui kerangka Fiqh Watan. Proses sosialisasi yang berlaku melibatkan interaksi antara syariat Islam dan adat resam tempatan. Ia menunjukkan bagaimana syariat Islam mampu beradaptasi dalam adat setempat tanpa mengabaikan tuntutan nass Syarak. Berasaskan pendekatan kualitatif, interpretatif dilakukan melalui analisis dokumen yang merangkumi artikel ilmiah, kajian lapangan serta penulisan kontemporari berkaitan adat kematian Melayu dan pengurusan jenazah. Data dianalisis secara tematik dengan memfokuskan hubungan antara prinsip fiqh, konsep al-‘urf al-sahih dan maqasid syariah dalam konteks realiti sosial negeri Pahang. Dapatan menunjukkan bahawa sosialisasi syariat Islam dalam adat kematian telah berlaku secara berlapis melalui tiga fasa utama kematian iaitu pra-kematian, pengurusan jenazah dan pasca pengebumian serta diperkukuhkan melalui agen seperti institusi keluarga, autoriti agama, pembudayaan, struktur perundangan negeri dan legitimasi raja sebagai Ketua Agama Islam. Kajian ini merumuskan bahawa adat kematian Melayu Pahang berfungsi sebagai sistem penginstitusian hukum yang membentuk identiti Melayu-Islam dalam kerangka fiqh watan Pahang.










