Pesan Saidina ʿAlī bin Abī Ṭālib tentang Khawarij sebagai fenomena ideologi berulang: Analisis teoretikal Salafi-Jihad kontemporari berasaskan fiqh al-watan di Malaysia
Keywords:
Salafi-jihad, Khawarij, Saidina ʿAlī RA, Fiqh al-Watan, ekstremisme agama, keselamatan ideologi, MalaysiaAbstract
Kekalahan fizikal kumpulan ISIS/Daesh sering ditafsirkan sebagai penamatan ancaman ekstremisme jihad bersenjata. Namun, perkembangan keselamatan pasca-ISIS menunjukkan bahawa ideologi Salafi-jihad tidak lenyap, sebaliknya terus hidup sebagai fenomena ideologi terdesentralisasi yang bergerak melalui radikalisasi individu, jaringan mikro dan ruang digital. Artikel ini berhujah bahawa Salafi-jihad perlu difahami bukan sebagai ancaman episodik, tetapi sebagai fenomena ideologi berulang yang telah dikenal pasti sejak awal sejarah Islam melalui kemunculan Khawarij. Dengan menggunakan pendekatan kualitatif berasaskan analisis literatur, dokumen keselamatan antarabangsa dan analisis sejarah-teoretikal, kajian ini menelusuri pesan Saidina ʿAlī bin Abī Ṭālib RA berkaitan Khawarij sebagai satu teori awal Islam tentang had kekerasan dan sifat berulang ekstremisme agama. Dapatan kajian menunjukkan bahawa ancaman Salafi-jihad di Malaysia beroperasi terutamanya pada aras epistemologi, autoriti agama dan kenegaraan, sekali gus menjadikan pendekatan keselamatan fizikal semata-mata tidak mencukupi. Sebagai sumbangan teori dan polisi, artikel ini mengemukakan Fiqh al-Watan sebagai kerangka counter-ideology Islam tempatan yang mengintegrasikan maqāṣid al-sharīʿah, autoriti institusi agama, ‘urf ṣaḥīḥ dan kesetiaan kepada watan. Kajian ini menyumbang kepada literatur keselamatan dan pengajian Islam dengan memperluas analisis ekstremisme agama kepada dimensi epistemologi dan kenegaraan, serta menawarkan pendekatan tempatan yang relevan untuk menangani ekstremisme ideologi secara jangka panjang dalam konteks Malaysia.










