Fiqh watan sebagai kerangka governan Islam kontekstual: Analisis aplikasi fiqh terhadap komuniti Melayu dan Orang Asli di Pahang
Keywords:
Fiqh Watan, Fiqh Orang Asli, Governan Islam, Maqasid al-Syari‘ah, Keadilan Kontekstual, Masyarakat Majmuk, PahangAbstract
Perbincangan mengenai aplikasi fiqh Islam dalam masyarakat kontemporari sering berdepan cabaran apabila hukum dilaksanakan secara seragam tanpa mengambil kira kepelbagaian realiti sosial masyarakat majmuk. Dalam banyak keadaan, pendekatan ini mengabaikan perbezaan struktur sosial, tahap istita‘ah, ‘urf dan keupayaan sebenar komuniti, sekali gus berisiko menjejaskan keadilan substantif. Sehubungan itu, artikel ini bertujuan membangunkan dan menilai Fiqh Watan sebagai satu kerangka governan Islam yang kontekstual melalui analisis perbandingan aplikasi fiqh terhadap komuniti Melayu arus perdana dan komuniti Orang Asli di Negeri Pahang. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui analisis konsep dan sorotan literatur terpilih, termasuk karya fiqh klasik yang berasaskan maqasid al-syari‘ah, pemikiran undang-undang Islam moden serta kajian antropologi Islam di Asia Tenggara. Analisis dilakukan dengan melihat fiqh sebagai satu sistem nilai dan tadbir urus sosial, bukan sekadar peraturan hukum individu. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pendekatan fiqh yang berkesan dalam komuniti dominan tidak semestinya adil apabila diaplikasikan kepada komuniti yang berstruktur lemah seperti Orang Asli. Sehubungan itu, artikel ini menegaskan bahawa komuniti Orang Asli perlu dilihat sebagai ujian kritikal terhadap teori fiqh dan model governan Islam. Sebagai respons, Fiqh Watan dicadangkan sebagai pendekatan fiqh yang tidak membebankan, dilaksanakan secara berperingkat, mengambil kira adat dan realiti setempat, serta berorientasikan pemerkasaan sosial. Kajian ini menyumbang kepada perbincangan fiqh dan governan Islam dengan mengemukakan satu kerangka yang sesuai untuk masyarakat majmuk dan konteks pascakolonial.










