Peranan dan kewibawaan Ummu ‘Atiyyah r.ha: Kajian berdasarkan hadith dalam Ṣaḥīḥ al-Bukhārī
Keywords:
Ummu Atiyyah R.HA, Peranan, Hadith, Ṣaḥīḥ al-BukhārīAbstract
Kedatangan Islam dengan pengutusan Nabi SAW antaranya bertujuan untuk menghapuskan sikap diskriminasi terhadap golongan wanita dalam kehidupan bersosial dan kekeluargaan seterusnya mengangkat kedudukan mereka. Namun segelintir masyarakat Islam seperti golongan Feminisme masih mendakwa bahawa Nabi SAW bersikap bias terhadap wanita dengan mengehadkan penglibatan mereka dalam kegiatan sosial masyarakat. Perkara ini secara tidak langsung melabelkan Islam sebagai agama yang bias gender walhal Islam meletakkan wanita sebagai tunjang kesejahteraan sesebuah keluarga dan. Oleh itu, kajian ini akan merungkaikan peranan wanita pada zaman Nabi SAW khusus kepada Ummu ‘Aṭiyyah R.HA terhadap penglibatannya dalam pelbagai kegiatan kehidupan dengan mengkaji latar belakang dan peranannya terhadap keluarga, masyarakat bahkan agama berdasarkan penelitian terhadap hadith-hadith riwayatnya sendiri dalam Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. Kajian ini menggunakan metode pengumpulan data berdasarkan kaedah dokumentasi iaitu menggunakan kaedah perpustakaan sepenuhnya dengan mengaplikasikan metode analisis kandungan untuk menganalisis data-data yang telah dikumpulkan. Hasil kajian menunjukkan, Nabi SAW dan agama Islam membuka ruang yang luas kepada wanita untuk melibatkan diri dalam kegiatan sosial dan memainkan peranan terhadap negara dan agama sebagaimana Umm ‘Aṭiyyah R.HA terkenal sebagai pakar rujuk bukan sahaja bagi golongan wanita bahkan golongan lelaki dalam mempelajari tatacara memandikan jenazah. Beliau juga merupakan anggota tentera yang berperanan menyediakan makanan dan minuman serta keperluan rawatan kepada tentera-tentera Islam dalam tujuh peperangan besar dalam Islam. Kewibawaan sebagai perawi hadith pula menunjukkan peranannya terhadap syariat agama yang sekali gus menunjukkan Islam membuka ruang yang luas terhadap wanita untuk terlibat dalam masyarakat dan negara selama mana tidak bertentangan dengan syariat Islam.










