Terjemahan Microsoft (MsT) dan terjemahan manusia (HT) dalam menterjemah ulasan Moothurai ke Bahasa Melayu: Satu perbandingan
Keywords:
Terjemahan, Moothurai, Peter Newmark, Terjemahan Microsoft (MsT), Terjemahan Manusia (HT)Abstract
Moothurai ialah karya sastera klasik dalam bahasa Tamil yang terkenal dengan nilai etika dan falsafah sejagatnya. Moothurai merupakan sebuah karya moral yang dikarang oleh Auvaiyar, seorang tokoh sasterawan Tamil yang berpengaruh. Nama Moothurai berasal daripada perkataan mutumai, yang bermaksud tua atau kuno, dan urai, yang bermaksud ucapan atau ajaran. Judul ini diberikan kerana karya tersebut mengandungi prinsip-prinsip moral yang bersifat mendalam serta berakar daripada kebijaksanaan lama. Karya ini juga dikenali dengan nama Vaakkundaam, yang diambil daripada lagu pujian kepada Tuhan pada bahagian awal buku yang dimulakan dengan frasa Vaakkundaam iaitu gabungan perkataan vaakku (perkataan atau ucapan) dan undaam (akan wujud). Moothurai terdiri daripada 31 puisi Venpaa, dan setiap Venpa menekankan satu idea atau prinsip moral yang berbeza. Terjemahan karya ini ke dalam bahasa Melayu memainkan peranan penting dalam memperluas jangkauan pemahaman khalayak, sekali gus memupuk nilai-nilai sejagat dalam konteks budaya tempatan. Kajian ini bertujuan meneroka penggunaan Terjemahan Microsoft (MsT) dan Terjemahan Manusia (HT) dalam penterjemahan ulasan Moothurai ke dalam bahasa Melayu, dengan memberi tumpuan kepada Venpa 1 hingga Venpa 10. Objektif utama kajian adalah untuk mengenal pasti teknik-teknik terjemahan yang digunakan oleh MsT dan HT serta menilai tahap ketepatannya. Analisis ini berpandukan Teori Terjemahan Peter Newmark (1988), yang menyediakan kerangka konseptual bagi meneliti prosedur dan kaedah penterjemahan. Menggunakan reka bentuk penyelidikan kualitatif, kajian ini mengumpul data melalui analisis teks dan kaedah tinjauan bagi memperoleh pemahaman yang lebih menyeluruh terhadap hasil terjemahan. Penemuan dan perbincangan kajian menunjukkan wujudnya perbezaan ketara antara hasil terjemahan MsT dan HT, serta mendedahkan bagaimana kecerdasan buatan (AI) dan kecerdasan manusia memberikan pengaruh yang berbeza terhadap teks sasaran (TT) dari segi gaya, makna dan kehalusan budaya.










