Ayat Amsal al-Quran & pepatah Melayu dalam dunia pendidikan: Suatu pendekatan psikoterapi berasaskan agama & budaya
Keywords:
Ayat Amsal Al-Quran, Pepatah Melayu, psikoterapi, kesihatan mental, media sosialAbstract
Masalah kesihatan mental dan ketidakstabilan emosi dalam kalangan pelajar semakin membimbangkan, terutama dalam konteks pendidikan moden yang berorientasikan pencapaian, kemasyhuran dan keunggulan. Kesempurnaan nilai akademik menjadi cermin kepada kejayaan seseorang. Bebanan dan harapan yang tinggi dari orang sekeliling menyebabkan seseorang pelajar berusaha menjadi yang terunggul walau dengan cara yang salah. Ditambah lagi dengan pengaruh negatif bersifat hiburan dan trend dari media sosial. Akibatnya, keseimbangan spiritual dan keindahan akhlak dipandang ringan oleh sesetengah masyarakat sehingga menyebabkan tercetusnya masalah tekanan emosi seperti overthinking, anxiety dan depression. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif berasaskan kajian kepustakaan. Beberapa contoh ayat amsal dan pepatah Melayu yang relevan untuk konteks emosi pelajar dipilih dan dianalisis kandungannya. Sejajar dengan itu, jelas dapat dilihat bahawa ayat amsal dan pepatah Melayu ini menjadi asas kepada beberapa penemuan bahawa pendekatan psikoterapi berasaskan agama dan budaya tempatan dilihat sebagai alternatif yang lebih holistik dan berakar pada nilai masyarakat. Kertas ini mengupas potensi ayat amsal dalam al-Quran dan pepatah Melayu sebagai medium psikoterapi yang bersifat mendidik jiwa dan memperkukuh emosi pelajar. Gabungan Ayat amsal al-Quran dan pepatah Melayu bukan sahaja mengandungi unsur estetika bahasa yang tinggi, tetapi juga membawa pengajaran mendalam yang mampu membentuk kesedaran diri, kekuatan rohani dan keunggulan jati diri budaya Melayu. Kajian ini mencadangkan agar elemen-elemen ini diintegrasikan dalam sistem pendidikan dan sesi bimbingan pelajar, sekali gus membuka ruang kepada model intervensi psikoterapeutik yang bersifat bersepadu dan menyeluruh.










