Pendekatan penulisan dakwah Al-Marbawi berdasarkan karya syarah hadith
Keywords:
Pendekatan Dakwah, Al-Marbawi, Penulisan, Karya Syarah HadithAbstract
Penulisan karya dakwah dalam dunia Islam berkembang sejajar dengan perkembangan Islam. Malah, perkembangan penulisan karya syarah hadith turut berlaku kerana penulisan karya ini bertujuan menjelaskan kehendak dan maksud hadith selari dengan kehendak Nabi Muhammad SAW. Justeru, para muḥaddithīn merangka konsep dan pendekatan penulisan syarah hadith agar karya yang dihasilkan dapat mencapai matlamat penulisan. Dalam situasi ini, al-Marbawi merupakan tokoh muḥaddith di Alam Melayu telah menghasilkan beberapa karya syarah hadith bagi membantu masyarakat memahami hadith. Justeru, kajian ini dijalankan bagi mengkaji dan menganalisis pendekatan penulisan dakwah al-Marbawi berdasarkan karya syarah hadith beliau. Kajian ini menggunakan metode kualitatif dan pengumpulan data penyelidikan dilaksanakan melalui kaedah analisis kandungan. Kemudian data dianalisis dengan mengubah data ke dalam bentuk teks, menghasilkan kategori dan juga membuat kesimpulan. Kajian ini memfokuskan kepada tiga karya syarah hadith iaitu Baḥr al-Mādhī li Sharḥ al-Mukhtaṣar Ṣaḥīḥ al-Tirmidhī, Idangan Guru Ṣaḥīḥ al-Bukhārī wa Muslim dan Bulūgh al-Marām Serta Terjemahan Melayu. Hasil kajian ini mendapati lima pendekatan penulisan dakwah al-Marbawi iaitu pemilihan karya utama hadith, pemilihan hadith yang bertepatan dengan tajuk dan tidak berulang, fokus syarah hadith secara mendalam dan fiqh al-ḥadīth, serta pendekatan mengemukakan teks dan terjemahan hadith yang memudahkan para pembaca memahaminya. Tambahan itu, al-Marbawi memilih pendekatan syarah hadith secara terperinci (sharḥ al-taḥlīlī) dan syarah hadith secara bercampur (al-sharḥ al-muzjī) bagi karya Baḥr al-Mādhī dan Idangan Guru. Sebaliknya, karya Bulūgh al-Marām mengaplikasikan pendekatan syarah hadith secara ringkas (al-sharḥ al-ijmālī). Kepelbagaian pendekatan penulisan dakwah al-Marbawi dalam karya syarah hadith ini dapat memberi manfaat kepada para pembaca daripada pelbagai lapisan masyarakat.