Eksplorasi cabaran pelaksanaan KBAT dalam pendidikan sirah: Perspektif guru cemerlang Pendidikan Islam
Keywords:
Pendidikan Sirah, Kemahiran Berfikir Aras Tinggi, pengajaran, Pendidikan IslamAbstract
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti faktor kelemahan yang terdapat pada bidang Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam Pendidikan Sirah di sekolah menengah. Pendidikan Sirah merupakan komponen penting dalam mata pelajaran Pendidikan Islam yang bertujuan memberi pengajaran dan teladan dalam kehidupan seharian. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui temu bual berstruktur dengan enam orang Guru Cemerlang Pendidikan Islam (GCPI) dari lima buah sekolah di Selangor. Pemilihan sampel dilakukan secara bertujuan, melibatkan guru yang berpengalaman mengajar melebihi sepuluh tahun. Hasil kajian mengenal pasti lima faktor utama kelemahan dalam pengajaran KBAT Pendidikan Sirah. Pertama, murid menghadapi kesukaran dalam menghafal fakta-fakta penting. Kedua, kelemahan dalam kemahiran membaca Jawi yang menyukarkan penggunaan buku teks. Ketiga, kekurangan penguasaan dalam kemahiran menjawab soalan KBAT. Keempat, kepelbagaian latar belakang murid yang memerlukan pendekatan pengajaran berbeza. Kelima, sikap murid yang menganggap Sirah membosankan seperti mata pelajaran Sejarah, ditambah dengan guru yang kurang membuat perkaitan antara Sirah dengan konteks kehidupan semasa. Kajian mencadangkan beberapa penambahbaikan, termasuk keperluan guru untuk lebih proaktif dalam membangunkan strategi pengajaran KBAT, penggunaan kaedah pengajaran yang lebih kreatif dan interaktif, serta penekanan pada pemahaman berbanding hafalan semata-mata. Guru juga perlu menghubungkaitkan pengajaran Sirah dengan realiti kehidupan semasa dan menggunakan bahan bantu mengajar yang sesuai dan menarik. Kajian ini menyimpulkan bahawa pengajaran KBAT dalam Pendidikan Sirah memerlukan pendekatan yang holistik dan seimbang, dengan mengambil kira keperluan murid serta peranan penting guru dalam menjayakan proses pembelajaran.