Impak media sosial terhadap kesihatan mental: Analisis perbandingan sosial dan ketagihan digital sebagai pencetus gangguan kebimbangan dalam kalangan generasi muda
Keywords:
Media sosial, perbandingan sosial, ketagihan digital, kebimbangan, kesihatan mental, generasi mudaAbstract
Penggunaan media sosial yang berlebihan dalam kalangan generasi muda semakin membimbangkan kerana dikaitkan dengan ketagihan digital dan perbandingan sosial yang tinggi, yang boleh meningkatkan tahap kebimbangan, kemurungan, dan gangguan tidur. Kajian ini bertujuan untuk menilai hubungan antara kedua-dua faktor ini terhadap kesejahteraan mental generasi muda menggunakan pendekatan analisis kandungan tematik berdasarkan sorotan literatur daripada jurnal akademik, buku ilmiah, dan laporan penyelidikan.Dapatan kajian menunjukkan bahawa perbandingan sosial yang berlebihan menurunkan kepuasan hidup kerana pengguna sering terdedah kepada gambaran kehidupan yang ideal tetapi tidak realistik. Selain itu, ketagihan digital dikaitkan dengan peningkatan tekanan psikologi,kemurungan, serta gangguan tidur, terutamanya bagi individu yang menghabiskan lebih daripada 3 hingga 5 jam sehari di media sosial. Faktor seperti tekanan sosial, buli siber, dan penggunaantidak terkawal memperburuk kesan negatif ini. Namun, pendidikan literasi digital, kawalan kendiri, serta amalan detoks digital dapat membantu mengurangkan impak negatif media sosial terhadap kesejahteraan mental.Kajian ini menyumbang kepada pemahaman lebih mendalam mengenai kesan media sosial terhadap kesihatan mental generasi muda serta memberikan asas bagi strategi intervensi dalampendidikan literasi digital dan polisi kesihatan mental. Oleh itu, peranan pendidik, ibu bapa, dan pembuat dasar amat penting dalam membimbing generasi muda untuk menggunakan media sosial secara lebih sihat dan seimbang bagi memastikan kesejahteraan psikologi mereka di era digital ini.