Pendekatan kurikulum pendidikan islam menurut tokoh ilmuan islam: Imam Al-Ghazali
Keywords:
Al-Ghazali, Falsafah, Kurikulum, Pendidikan IslamAbstract
Pendidikan Islam memainkan peranan penting dalam membentuk akhlak dan karakter individu Muslim yang diwarisi melalui pemikiran dan pendekatan ilmuan Islam. Imam al-Ghazali merupakan salah seorang tokoh terkemuka dalam sejarah pendidikan Islam. Beliau telah memberikan sumbangan yang besar kepada falsafah pendidikan melalui karyanya yang masyhur iaitu Ihya’ Ulum al-Din. Beliau dikenali sebagai "Hujjatul Islam" kerana usaha gigihnya dalam mengembangkan pendidikan yang mengintegrasikan ilmu naqli dan aqli. Oleh yang demikian, artikel ini akan membincangkan tentang konsep pendidikan, tujuan pendidikan, kurikulum, prinsip, pendekatan pengajaran dan pembelajaran, serta kaedah pengajaran guru menurut pandangan al-Ghazali. Kajian ini menggunakan pendekatan metode kepustakaan dengan meneliti artikel, sumber internet dan bahan ilmiah berkaitan. Konsep pendidikan menurut al-Ghazali menekankan kesepaduan ilmu naqli dan aqli manakala tujuan pendidikan adalah mendekatkan diri kepada Allah. Prinsip dan pendekatan yang ditekankan oleh al-Ghazali seperti keikhlasan guru, kasih sayang kepada pelajar dan penggunaan kaedah pengajaran yang berkesan dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran. Oleh itu, penting untuk mengaplikasikan kembali falsafah pendidikan al-Ghazali dalam sistem pendidikan kontemporari untuk membentuk individu yang holistik dalam aspek spiritual, fizikal dan intelektual.