Isu-isu syariah dalam penjagaan pantang wanita melayu
Keywords:
Penjagaan pantang, Syariah, Wanita Melayu, Amalan perubatan tradisional, KesihatanAbstract
Penjagaan dalam pantang merupakan satu amalan tradisional yang penting dalam masyarakat Melayu bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan ibu selepas bersalin. Walaupun amalan ini berakar dalam budaya dan kepercayaan turun-temurun, terdapat keperluan untuk menilai kesesuaiannya dari perspektif Syariah dan perubatan moden. Kajian ini bertujuan untuk menganalisis isu-isu Syariah yang berkaitan dengan amalan berpantang wanita Melayu, termasuk aspek pemakanan, penggunaan herba, aktiviti fizikal, pemakaian bengkung, serta kepercayaan terhadap tangkal dan amalan ritual tertentu. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dengan analisis kandungan terhadap artikel dan jurnal yang berkaitan bagi mengenal pasti elemen-elemen dalam amalan berpantang yang selari atau bercanggah dengan prinsip Islam. Dapatan kajian menunjukkan bahawa walaupun sebahagian amalan berpantang memberikan manfaat kesihatan dan selari dengan maqasid Syariah, terdapat juga beberapa kepercayaan dan amalan yang tidak berasaskan dalil yang sahih serta berpotensi membawa unsur khurafat. Kajian ini mencadangkan agar amalan berpantang yang diamalkan oleh wanita Melayu selepas bersalin disesuaikan dengan garis panduan Islam dan bukti saintifik supaya ia dapat terus dipraktikkan dengan lebih berkesan dan beretika. Hasil kajian ini diharapkan dapat memberi panduan kepada wanita Melayu dalam menyesuaikan amalan berpantang mereka agar selari dengan tuntutan Syariah serta memberi manfaat yang optimum kepada kesihatan ibu dan bayi