Ekoterapi dalam perspektif Tibb Nabawi: Satu pendekatan awal terhadap kesihatan mental holistik
Keywords:
ekoterapi, Tibb Nabawi, kesihatan mental, gua hira’, hadithAbstract
Ekoterapi semakin diterima dalam bidang perubatan moden, yang menekankan peranan terapeutik alam sekitar dalam menyokong kesejahteraan mental. Walaupun ekoterapi diakui secara meluas dalam amalan kesihatan kontemporari, tiada kajian komprehensif yang meneroka konsep ini dalam kerangka Perubatan Nabawi (Tibb Nabawi). Tibb Nabawi menggabungkan elemen-elemen alam, seperti air, herba, dan ruang terbuka, yang lazimnya digunakan untuk penyembuhan fizikal. Namun, potensi manfaat psikologi dan spiritual daripada elemen-elemen alam ini khususnya dalam meningkatkan kesejahteraan mental, belum dikaji secara menyeluruh. Kajian ini bertujuan untuk menangani jurang ini dengan menganalisis prinsip asas Tibb Nabawi yang selari dengan ekoterapi dan meneroka bagaimana elemen-elemen ini boleh menyumbang kepada pendekatan kesihatan mental yang holistik. Kajian ini menggunakan metodologi kualitatif, dengan analisis teks terhadap hadith yang relevan serta teks Islam klasik untuk mengenal pasti elemen alam dalam Tibb Nabawi yang menyokong kesejahteraan mental. Analisis kandungan kemudian diaplikasikan bagi menilai bagaimana komponen alam ini dapat menawarkan manfaat yang menyokong keseimbangan mental dan kesejahteraan spiritual. Kajian ini mendapati bahawa prinsip dalam Tibb Nabawi—seperti mentadabbur dan tafakkur alam adalah konsisten dengan amalan ekoterapi moden. Hal ini dapat dilihat daripada praktik Nabi SAW berkhalwat di Gua Hira’ dan merenung langit ketika waktu malam. Penemuan ini menonjolkan sifat holistik dalam ajaran Nabawi, yang menganjurkan gaya hidup seimbang dan harmoni dengan alam sekitar. Implikasi kajian ini mencadangkan bahawa ekoterapi Nabawi boleh menawarkan alternatif yang berasaskan alam dan selari dengan agama untuk menyokong kesihatan mental, khususnya dalam kalangan masyarakat Muslim yang mencari model penjagaan yang relevan secara budaya. Kajian lanjutan boleh meneroka elemen spesifik terapi alam seperti terapi air (melalui wuduk atau melihat sungai) dan terapi hijau (menghayati keindahan hutan dan taman) diteliti dengan lebih mendalam, bagi memperkayakan konsep Ekoterapi Nabawi dalam konteks kesihatan mental berasaskan Islam.