Pengaplikasian Model ASSURE dalam reka bentuk dan pembangunan modul pembelajaran interaktif gamifikasi maya geometri bagi murid sekolah rendah
Keywords:
Modul Pembelajaran Interaktif, Model ASSURE, Geometri, Sekolah Rendah, Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)Abstract
Kajian ini bertujuan meneroka proses mereka bentuk dan membangunkan sebuah modul pembelajaran interaktif gamifikasi maya geometri, khususnya dalam topik Ruang Tahun Empat menggunakan Model ASSURE. Modul pembelajaran yang memfokuskan kepada murid berfungsi sebagai alat bantu belajar yang bersifat berstuktur dan sistematik, dan dibina khas bagi meningkatkan pengetahuan dan pengalaman semasa proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam bilik darjah. Kajian ini mengetengahkan enam peringkat utama Model ASSURE iaitu: Analisis Pengguna, Menyatakan Objektif, Memilih Strategi dan Sumber, Menggunakan Bahan dan Sumber, Memerlukan Penglibatan Pengguna serta Menilai dan Menyemak, yang mana ia merupakan sebuah model yang sesuai untuk mereka bentuk bahan PdP berlandaskan bilik darjah dengan penyepaduan bahan pendidikan yang komprehensif dan aktiviti pembelajaran yang menarik. Sembilan komponen utama modul telah dikenalpasti untuk disesuaikan dengan enam peringkat utama model ASSURE ini iaitu Analisis Pengguna, Objektif, Isi Kandungan, Sumber dan Bahan Bantu Modul, Reka Bentuk, Struktur Nota dan Latihan, Tetapan Gamifikasi, Susun Atur Modul dan Penilaian Modul. Secara keseluruhannya, penyelidikan ini membincangkan potensi penglibatan murid dalam reka bentuk bahan pembelajaran yang bersifat interaktif serta strategi pengajaran berinovasi yang diterapkan melalui elemen gamifikasi maya dalam pembelajaran geometri, sekaligus meningkatkan kemahiran digital yang diperlukan dalam sistem pendidikan masa kini.