Kompetensi amalan terbaik kapasiti pedagogi pembelajaran bermakna (KPPB) dalam kalangan guru-guru pelatih IPGK PM
Keywords:
kompetensi, amalan terbaik, sikap, pengetahuan, kemahiranAbstract
Pelaksanaan Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (KPPB) di Institut Pendidikan Guru (IPG) menitikberatkan pengetahuan dan kemahiran agar dapat diaplikasikan oleh guru-guru pelatih bagi menangani masalah dunia dan realiti kehidupan. KPPB merupakan satu inovasi pedagogi yang dapat meningkatkan kemahiran instruksional para pensyarah dalam menyampaikan proses pengajaran dan pembelajara secara lebih bermakna dan berkualiti. Tujuan kajian ini adalah untuk mengenalpasti kompetensi amalan terbaik KPPB dalam kalangan guru-guru pelatih dari aspek sikap, pengetahuan dan kemahiran. Untuk tujuan ini, satu set soal selidik jenis skala Likert telah diedarkan kepada 222 orang guru pelatih yang dipilih secara teknik persampelan rawak mudah dari pelbagai opsyen. Kajian ini merupakan kajian rekabentuk tinjauan (survey) dan menggunakan kaedah analisis data secara kuantitatif dan dianalisis secara deskriptif. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap sikap guru- guru pelatih IPGK PM dalam pelaksanaan KPPB berada pada tahap tinggi dengan nilai (Min = 4.22; SP= 0.33). Manakala tahap pengetahuan guru-guru pelatih juga menunjukkan berada pada tahap tinggi dengan nilai (Min=4.07; SP=0.39). Namun, dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap kemahiran guru-guru pelatih pula berada pada tahap sederhana tinggi dengan nilai (Min = 3.99, SP =0.39). Ini menunjukkan bahawa guru-guru pelatih mempunyai sikap dan pengetahuan yang tinggi terhadap pelaksanaan KPPB di IPG, namun perlu meningkatkan kemahiran mereka dalam menguasai proses pelaksanaan KPPB itu sendiri. Justeru, peranan para pensyarah amat diperlukan bagi memberikan bimbingan yang berterusan kepada para guru pelatih agar mereka dapat memahami proses pelaksanaan KPPB dengan lebih mendalam.