STATUS KARYA BERHAK CIPTA SELEPAS KEMATIAN PEMUNYA: PERSPEKTIF UNDANG-UNDANG DI MALAYSIA

Authors

  • Nor Azlina Mohd Noor
  • Ahmad Shamsul Abd Aziz
  • Nor Adila Mohd Noor

Abstract

Karya berhak cipta boleh didefinisikan sebagai sesuatu karya yang dihasilkan oleh seorang pencipta seperti karya sastera, karya muzik dan karya filem sebagaimana yang tertakluk di bawah seksyen 7(1) Akta Hak Cipta 1987. Pemilikan karya berhak cipta yang menjadi sebahagian daripada harta pemunya banyak dibincangkan semasa hidup pemunya. Walau bagaimanapun isu pemilikan karya berhak cipta selepas kematian pemunya jarang sekali dibincangkan. Berlaku salah faham di kalangan masyarakat bahawa setiap karya berhak cipta akan menjadi milik umum atau domain awam selepas kematian pemiliknya. Isu yang berlaku diambil perhatian ialah selepas kematian pemunya siapakah yang akan memiliki karya berhak cipta tersebut dan berapa lama jangka masa perlindungan yang diperuntukkan. Artikel ini menggunakan kaedah kajian kualitatif undang-undang dalam bentuk kajian perpustakaan. Data diperoleh daripada analisis yang dibuat ke atas beberapa peruntukan undang-undang yang terdapat di Malaysia dan jurnal-jurnal yang berkaitan. Artikel ini merumuskan bahawa, hak pemunya karya berhak cipta boleh diwarisi dan menjadi harta pusaka si mati. Walau bagaimanapun peruntukan di bawah Akta Hak cipta 1987 perlu dibaca bersama dengan undang-undang berkaitan pentadbiran pusaka. Pemilikan hak cipta selepas kematian pemunya masih lagi tertakluk kepada prinsip di bawah Akta Wasiat 1959 dan Akta Pembahagian 1958 bagi orang bukan Islam dan batasan dalam enakmen wasiat dan undang-undang faraid bagi orang Islam. Wujud keperluan untuk memperhalus kerangka undang-undang sedia ada bagi menyelesaikan beberapa kekangan undang-undang yang wujud bagi melindungi hak-hak pemunya yang boleh diwarisi oleh ahli waris selepas kematian mereka.

Downloads

Published

2024-01-31