Kebimbangan pelajar terhadap penggunaan ChatGPT dalam pembelajaran: Kajian di institusi TVET
Keywords:
ChatGPT, pembelajaran kejuruteraan, kebimbangan pelajarAbstract
Teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT semakin popular dalam pelbagai bidang, termasuk pendidikan, kerana kemampuannya memberikan maklumat dan sokongan dengan segera. Namun begitu, banyak kajian mendedahkan banyak kesan negatif hasil daripada penggunaan ChatGPT. Oleh yang demikian, kajian ini bertujuan untuk menilai tahap kebimbangan pelajar terhadap kesan negatif hasil penggunaan ChatGPT dalam pembelajaran kejuruteraan. Selain itu juga, kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti sama ada terdapat hubungan antara prestasi akademik dengan kebimbangan pelajar mengenai kesan negatif penggunaan ChatGPT dalam pembelajaran kejuruteraan Responden kajian adalah pelajar yang mengikuti program diploma kejuruteraan di institusi TVET di Sabah. Instrumen kajian adalah soal selidik yang diedarkan dalam talian secara rawak kepada semua pelajar. Data yang diperoleh akan dianalisis secara deskriptif dan regresi linear. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap kebimbangan pelajar adalah pada tahap sederhana. Manakala analisis regresi linear menunjukkan bahawa tidak terdapat hubungan yang signifikan antara prestasi akademik dengan kebimbangan pelajar mengenai kesan negatif penggunaan ChatGPT dalam pembelajaran kejuruteraan Hasil kajian menunjukkan bahawa walaupun pelajar mengakui manfaat ChatGPT dalam pembelajaran, mereka juga turut bersetuju terhadap kesan negatif penggunaan ChatGPT ini. Kajian ini penting untuk meramalkan sejauh mana keprihatinan pelajar terhadap kebergantungan pelajar terhadap ChatGPT.










