Faktor yang mempengaruhi minat pelajar terhadap bidang automotif dalam kalangan pelajar Kolej Komuniti Tawau
Keywords:
Faktor, minat, automotifAbstract
Bidang automotif dilihat semakin menjadi pilihan utama pelajar untuk belajar di Kolej Komuniti Tawau Sabah. Oleh yang demikian kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti faktor yang mendorong minat dalam automotif dan sejauh mana minat mereka untuk menambah kemahiran dalam bidang penyelenggaraan kenderaan. Kajian ini dijalankan menggunakan pendekatan kuantitatif. Instrumen kajian adalah menggunakan soal selidik yang diedarkan secara dalam talian. Teknik pensampelan yang digunakan adalah pensampelan bertujuan. Analisis kajian ini menggunakan analisis deskriptif untuk mengukur tahap persetujuan pelajar terhadap item kajian dalam borang soal selidik berdasarkan nilai min. Hasil kajian mendapati bahawa faktor yang paling utama ialah keperluan pekerjaan di mana pelajar yakin bahawa kemahiran dalam bidang automotif boleh digunakan sepanjang hayat, diikuti oleh keinginan untuk mendapatkan sijil atau kelayakan profesional dalam bidang automotif dan persepsi peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor seperti pembuatan, penyelenggaraan, dan jualan kenderaan. Sementara itu, bagi minat penyelenggaraan, secara keseluruhan pelajar mempunyai minat yang tinggi dalam bidang automotif. Kajian ini penting bagi membantu institusi merangka program yang selari dengan keperluan industri agar pelajar lepasan Kolej Komuniti dalam bidang automotif mendapat peluang pekerjaan yang luas di industri automotif.










