Kajian awal terhadap karya klasik dan kontemporari Islam mengenai wasiat wajibah
Keywords:
Wasiat, Wasiat Wajibah, Faraid, Fuqaha Klasik, Ijtihad Kontemporari, Maslahah, Harta PusakaAbstract
Wasiat merupakan salah satu instrumen penting dalam pengurusan harta menurut Islam, manakala wasiat wajibah berkembang sebagai satu bentuk ijtihad bagi menjaga kebajikan kerabat tertentu yang tidak memperoleh bahagian melalui faraid. Kajian ini bertujuan meneliti secara awal karya klasik dan kontemporari Islam berkaitan konsep wasiat dan asas pembentukan wasiat wajibah. Kajian menggunakan pendekatan kualitatif melalui analisis dokumen dan sorotan naratif terhadap al-Quran, hadis, karya fuqaha klasik dan penulisan sarjana kontemporari. Perbincangan memberi tumpuan kepada definisi wasiat, hukum, rukun dan syaratnya, kedudukan wasiat kepada kerabat bukan waris, serta perbezaan pandangan tentang kewajipan berwasiat kepada kerabat yang terhalang daripada mewarisi. Dapatan menunjukkan bahawa karya klasik menyediakan asas penting bagi perbahasan wasiat wajibah. Majoriti fuqaha melihat wasiat kepada bukan waris sebagai amalan yang dianjurkan, manakala sebahagian fuqaha mengekalkan unsur kewajipan bagi kerabat yang tidak mewarisi. Sarjana kontemporari kemudiannya mengembangkan pandangan ini melalui pertimbangan maslahah, keadilan dan perlindungan keluarga sehingga melahirkan konsep wasiat wajibah dalam bentuk perundangan di beberapa negara Islam. Kajian ini menyimpulkan bahawa wasiat wajibah tidak wajar dilihat sebagai penggantian kepada faraid, sebaliknya sebagai mekanisme pelengkap yang dibangunkan melalui ijtihad bagi menangani keadaan tertentu tanpa menjejaskan hak waris yang telah ditetapkan oleh syarak.










