Teater fitrah: Sumbangan Noordin Hasan kepada perkembangan teater berunsur Islam
Keywords:
Noordin Hassan, pementasan naskah, Teater Fitrah, unsur IslamAbstract
Teater berunsur Islam adalah sebuah pementasan naskah yang membawakan persoalan mahu pun penerapan isu mahu pun nilai keislaman di dalamnya. Sejarah perkembangan teater Malaysia dengan penerapan unsur Islam memperlihatkan hubungan yang kritikal dan mencabar pada satu-satu masa. Noordin Hassan melalui gagasan Teater Fitrah mempunyai suatu usaha dalam menyelaraskan hubungan antara ajaran Islam dengan pementasan teater yang dilaksanakan oleh umat Islam. Kajian ini bertujuan membincangkan tentang sumbangan dan peranan yang telah dimainkan oleh beliau dalam perkembangan teater berunsur Islam di Malaysia. Pengumpulan data kajian menggunakan pendekatan analisis teks dengan tumpuan kepada dokumen Teater Fitrah, serta sumber sekunder yang berkaitan dengan isu dan pementasan teater dalam kalangan masyarakat Islam. Kajian mendapati bahawa Noordin Hassan secara asasnya mahu menjadikan teater sebagai alat dakwah di mana mengikut ajaran Islam semua manusia di muka bumi ini adalah khalifah Allah SWT, pemimpin dalam kalangan umat selain sebagai hamba yang mana matlamat utama adalah mengesakan-Nya. Sehubungan itu prinsip-prinsip dalam gagasan Teater Fitrah adalah tatacara-tatacara untuk seseorang penggiat teater itu dapat mencapai matlamat untuk melaksanakan dakwah melalui teater. Pembinaan dan penyebaran gagasan Teater Fitrah ini yang bermula sejak tahun 1980-an didapati masih lagi perlukan perbincangan secara meluas bagi meningkatkan lagi kefahaman penggiat teater terhadap prinsip-prinsip yang terkandung di dalamnya untuk menghasilkan produksi teater berunsur Islam yang selaras dengan syariatnya.










