Psikoterapi Muslim berteraskan ayat al-Qur'an & khazanah puisi Melayu
Keywords:
Ayat Al- Qur’an, Puisi Melayu, kesihatan mental, MIKQPAbstract
Masalah kesihatan mental dan ketidakstabilan emosi dalam kalangan masyarakat kini semakin membimbangkan dari masa ke semasa. Tekanan kehidupan, tuntutan tanggungjawab dan realiti moral komuniti ini yang merundum ditambah lagi dengan pengaruh negatif bersifat hiburan dan trend dari media sosial sedikit sebanyak menyumbang kepada kemenjadian dan perkembangannya. Kekuatan spiritual dan keyakinan diri semakin hilang bersama hilangnya rasa empati dalam kalangan masyarakat sehingga menyebabkan tercetusnya masalah tekanan emosi bagi individu tertentu seperti anxiety, depression dan post traumatic disorder. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif berasaskan kajian kepustakaan. Beberapa contoh Ayat Al-Qur’an yang terpilih dan Puisi Melayu yang relevan sebagai rawatan emosi atau psikoterapi dipilih dan dianalisis kandungannya. Sejajar dengan itu, jelas dapat dilihat bahawa Ayat Al-Qur’an dan Puisi Melayu ini menjadi asas kepada beberapa penemuan bahawa pendekatan psikoterapi berasaskan agama dan adat tempatan dilihat sebagai alternatif yang lebih holistik dan berakar pada nilai masyarakat. Kertas ini mengupas kehebatan ayat Al-Qur’an dan Puisi Melayu sebagai medium psikoterapi yang bersifat mendidik jiwa dan memperkukuh emosi individu yang mengalami kesihatan mental. Gabungan ayat Al-Qur’an dan Puisi Melayu bukan sahaja mengandungi unsur estetika bahasa yang tinggi, tetapi juga membawa pengajaran mendalam yang mampu membentuk kesedaran diri, kekuatan rohani dan keunggulan jatidiri budaya Melayu. Kajian ini mencadangkan agar elemen-elemen ini diintegrasikan dalam sistem bimbingan pelajar, sekaligus membuka ruang kepada Model Integrasi Kaunseling Quranic dan Puisi (MIKQP) yang bersifat bersepadu dan menyeluruh.










