Pampasan mandatori terhadap waris kematian akibat pemanduan mabuk di Malaysia: Analisis perundangan semasa dan prinsip diyat dalam Islam
Keywords:
Aqilah, Diyat, Keadilan Restoratif, Pampasan Mandatori, Pemanduan MabukAbstract
Kematian akibat pemanduan mabuk menimbulkan persoalan penting tentang keseimbangan antara hukuman terhadap pesalah dan keadilan kepada keluarga mangsa. Undang-undang semasa di Malaysia memperuntukkan hukuman penjara, denda dan hilang kelayakan memandu di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Namun, tiada peruntukan pampasan mandatori kepada waris mangsa. Waris terpaksa memfailkan tuntutan sivil yang panjang, mahal dan tidak pasti. Artikel ini bertujuan membincangkan keperluan dan justifikasi pampasan mandatori berdasarkan kelompangan sistem semasa, beban tuntutan sivil, prinsip keadilan restoratif, diyat dalam Islam, serta amalan antarabangsa. Kajian menggunakan pendekatan kualitatif doktrinal melalui analisis peruntukan undang-undang, sumber fiqh jinayah, dan literatur berkaitan. Dapatan menunjukkan bahawa sistem semasa hanya berfokus kepada hukuman pesalah dan mengabaikan pemulihan kewangan waris. Prinsip diyat menyediakan asas normatif bahawa kehilangan nyawa akibat kecuaian berat wajib disertakan dengan pampasan kewangan. Reformasi pampasan mandatori ini memerlukan pindaan Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kesimpulannya, pampasan mandatori berasaskan keadilan restoratif dan diyat mampu mewujudkan keadilan yang lebih seimbang antara penghukuman dan pemulihan mangsa.










