Bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam pengesahan hibah bercagar: Analisis terhadap keputusan kes di Malaysia
Keywords:
Hibah bercagar, Mahkamah Syariah, Perkara 121(1A), Pengesahan hibah, QabdAbstract
Hibah bercagar semakin mendapat perhatian sebagai instrumen perancangan harta Islam, namun pelaksanaannya menimbulkan persoalan bidang kuasa apabila harta yang dihibahkan masih tertakluk kepada cagaran, pinjaman atau pembiayaan institusi kewangan. Isu ini menjadi lebih kompleks apabila pengesahan hibah oleh Mahkamah Syariah bersentuhan dengan aspek hak milik berdaftar, kontrak pembiayaan dan kepentingan pihak ketiga yang lazimnya berada dalam ruang kuasa Mahkamah Sivil. Kajian ini meneliti konsep hibah bercagar dan kedudukannya menurut perspektif hukum syarak serta amalan perundangan Islam di Malaysia. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui analisis dokumen terhadap peruntukan undang-undang, keputusan mahkamah, fatwa dan penulisan akademik. Data dianalisis secara kandungan bagi mengenal pasti pola keputusan, asas penghujahan dan sempadan bidang kuasa yang digunakan oleh mahkamah. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kekaburan bidang kuasa wujud apabila Mahkamah Syariah perlu menentukan kesahan hibah terhadap harta yang masih tertakluk kepada cagaran serta mempunyai implikasi terhadap hak institusi kewangan dan pendaftaran hak milik. Keadaan ini menunjukkan keperluan kepada penyeragaman garis panduan pentadbiran dan kerangka perundangan yang lebih jelas bagi mengukuhkan autoriti Mahkamah Syariah, mengelakkan pertindihan bidang kuasa dan menjamin kepastian hukum dalam pentadbiran keadilan Islam di Malaysia.










