Peranan media sosial dalam penyebaran maklumat halal dan kepentingan tabayyun dalam kalangan pengguna Muslim.
Keywords:
Halal, Literasi Maklumat, Media Sosial, Pengguna Muslim, TabayyunAbstract
Perkembangan media sosial telah mengubah corak penyebaran maklumat halal dalam kalangan pengguna Muslim di Malaysia. Maklumat halal dikongsikan dengan pantas, namun tidak semua maklumat yang tular adalah tepat dan sahih. Keadaan ini boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengguna Muslim, salah faham terhadap sesuatu produk dan menjejaskan kepercayaan terhadap industri halal. Kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti corak penyebaran maklumat halal di media sosial serta membincangkan peranan konsep tabayyun dalam memastikan kesahihan maklumat tersebut. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui kaedah analisis dokumen dengan meneliti pelbagai sumber seperti artikel jurnal, buku dan laporan berkaitan isu halal dan media sosial. Hasil kajian mendapati bahawa maklumat halal disebarkan melalui pelbagai saluran seperti pempengaruh, kandungan tular, mesej berantai, hebahan rasmi, forum komuniti dan artikel akademik. Namun, penyebaran yang pantas ini menyebabkan maklumat palsu mudah tersebar akibat sikap pengguna Muslim yang tidak menyemak maklumat, kekeliruan terhadap logo halal serta kurangnya literasi maklumat. Kajian ini juga menunjukkan bahawa konsep tabayyun berperanan penting dalam memastikan kesahihan maklumat halal melalui elemen autoriti, kredibiliti dan akauntabiliti yang saling melengkapi dalam proses penilaian maklumat. Justeru itu, amalan tabayyun dan pengukuhan literasi maklumat dalam kalangan pengguna Muslim perlu diperkukuhkan bagi memastikan maklumat halal yang diterima adalah tepat, sahih dan berintegriti.










