Amalan kebersihan dan kelestarian pensijilan halal di premis makanan: Satu kajian kes empirikal
Keywords:
Amalan Kebersihan Makanan, Pensijilan Halal, Premis Makanan, Pengetahuan Pengendali Makanan, Pematuhan HalalAbstract
Pensijilan halal yang berkait rapat dengan kebersihan makanan tidak boleh dipisahkan kerana kedua-duanya saling melengkapi. Namun demikian, walaupun sijil halal menekankan tentang kebersihan, masih terdapat isu penarikan sijil halal berlaku akibat ketidakpatuhan dalam aspek kebersihan. Perkara ini justeru akan membawa mudarat seperti keracunan makanan dan kematian. Justeru, kajian ini mengenalpasti pelaksanaan sebenar amalan kebersihan di premis yang mempunyai sijil halal. Pendekatan kualitatif digunakan melalui temu bual separa berstruktur yang melibatkan tiga orang informan, iaitu 2 pekerja dapur dan seorang eksekutif halal. Kajian ini bertujuan untuk meneliti amalan operasi sebenar serta menilai bagaimana kebersihan dilaksanakan dalam aktiviti pengendalian makanan harian. Di akhir dapatan kajian, tiga tema utama daripada informan iaitu (i) pelaksanaan semasa amalan kebersihan di premis, (ii) pengetahuan pengendali makanan terhadap amalan kebersihan, dan (iii) keberkesanan amalan kebersihan dalam mengekalkan pensijilan halal. Secara keseluruhannya, kajian ini menekankan bahawa amalan kebersihan di lapangan yang disokong oleh pengetahuan dan penambahbaikan berterusan adalah penting dalam memastikan kelestarian pensijilan halal di premis makanan.










