Lafaz talak digital: Analisis hukum syarak dan undang-undang keluarga Islam di Malaysia
Keywords:
Cerai, Hukum syarak, Mahkamah Syariah, Talak digital, Undang-Undang Keluarga IslamAbstract
Kajian ini membincangkan isu lafaz talak menerusi aplikasi digital daripada perspektif hukum syarak dan undang-undang keluarga Islam di Malaysia. Perkembangan teknologi komunikasi seperti WhatsApp, Telegram, e-mel dan media sosial telah mewujudkan fenomena baharu dalam institusi kekeluargaan Islam apabila lafaz talak dilakukan tanpa pertemuan secara bersemuka. Kajian ini bertujuan untuk menganalisis konsep lafaz talak menerusi aplikasi digital menurut perspektif hukum syarak serta kedudukannya dalam Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia. Selain itu, kajian ini juga bertujuan untuk mengenal pasti cabaran pembuktian lafaz talak melalui aplikasi digital di Mahkamah Syariah serta implikasinya terhadap institusi kekeluargaan Islam. Metodologi kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif berbentuk analisis dokumen dan doktrinal undang-undang dengan meneliti kitab fiqh, akta dan enakmen keluarga Islam, jurnal akademik dan artikel ilmiah. Data dianalisis secara deskriptif dan analitikal berdasarkan objektif kajian. Hasil kajian mendapati bahawa lafaz talak secara maya boleh dianggap sah menurut hukum syarak sekiranya memenuhi rukun dan syarat talak khususnya elemen niat dan kejelasan lafaz. Namun, pengesahan Mahkamah Syariah tetap diperlukan bagi memastikan kesahan undang-undang, perlindungan hak isteri dan kepastian status perkahwinan. Kajian ini turut menegaskan keperluan garis panduan pembuktian digital serta pendidikan fiqh kekeluargaan bagi menangani cabaran talak secara maya lebih sistematik dan berkesan.










