Penilaian social return on investment (SROI) bagi agihan zakat dalam pendidikan tinggi: Analisis komprehensif Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) 2024
Keywords:
Agihan Zakat, Kesejahteraan Pelajar, Kewangan Sosial Islam, Pendidikan Tinggi, Social Return on Investment (SROI)Abstract
Zakat sebagai tonggak utama kewangan sosial Islam memainkan peranan penting dalam menyokong golongan berpendapatan rendah dan asnaf. Dalam konteks pendidikan tinggi, kepentingannya semakin meningkat apabila pelajar berdepan kenaikan kos sara hidup, ketidakamanan makanan dan kekangan akses kepada sumber pembelajaran digital. Walaupun program zakat universiti berkembang pesat, penilaian empirikal terhadap nilai sosial sebenar masih terhad, khususnya menggunakan kerangka pengukuran impak yang standard. Kajian ini menilai Social Return on Investment (SROI) bagi agihan zakat Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) tahun 2024. Sebanyak RM464,912.90 telah diagihkan kepada 443 penerima bantuan kewangan secara langsung, di samping pelaksanaan program Gerobok Rezeki yang memberi manfaat kepada kira-kira 800 pelajar setiap bulan sepanjang tahun 2024. melalui bantuan yuran pengajian, elaun sara hidup, bantuan makanan, sokongan perjalanan, bantuan digital dan bantuan kecemasan. Menggunakan kerangka SROI yang menekankan pemonetaan hasil bukan kewangan, kajian mendapati nisbah SROI sebanyak 1.62, menunjukkan setiap RM1 zakat menjana RM1.62 nilai sosial. Nilai ini terhasil daripada pencegahan keciciran pelajar, peningkatan keselamatan makanan, dan penambahbaikan kesejahteraan psikologi. Dapatan ini selari dengan kajian terdahulu yang menunjukkan tekanan kewangan dan ketidakamanan makanan menjejaskan prestasi akademik dan kesejahteraan pelajar. Kajian ini turut menunjukkan keselarasan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 1 (kemiskinan), SDG 2 (kelaparan), SDG 4 (pendidikan) dan SDG 10 (ketidaksamarataan). Secara keseluruhannya, dapatan membuktikan bahawa zakat, apabila diurus secara strategik, berfungsi sebagai instrumen pelaburan sosial berimpak tinggi dalam institusi pendidikan tinggi.










