Perbandingan ciri keselamatan surau pasaraya terpilih di Zon Bandar Selamat, Sabah
Keywords:
Ciri Keselamatan Surau, Pasaraya, Jenayah, Zon Bandar Selamat, SabahAbstract
Kajian ini membincangkan tentang perbandingan ciri keselamatan surau di pasaraya terpilih zon bandar selamat di Sabah meliputi daerah Kota Kinabalu, daerah Sandakan dan juga daerah Tawau. Kajian ini menggunakan kaedah mix-method iaitu data kualitatif dan kuantitatif dalam pengumpulan data. Temubual jabatan juga dilaksanakan dalam penelitian ini iaitu ke atas JHEINS, Pihak pengurusan pasaraya serta Majlis Perbandaran iaitu MPT, Tawau dan Majlis perbandaran Sandakan (MPS). Keselamatan surau adalah merupakan elemen yang penting dan perlu diberi perhatian dalam arus pembangunan negara. Hal ini kerana, setiap isu dan jenayah yang berlaku memberi kesan secara langsung kepada ekonomi, sosial, politik, serta keharmonian masyarakat dan negara secara keseluruhannya. Kejadian jenayah juga dilihat menjadi salah satu cabaran utama kepada kerajaan dalam usaha untuk membanteras bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat dapat dijalankan setiap hari tanpa sebarang bentuk gangguan. Oleh itu, kajian ini cuba untuk memfokuskan ciri-ciri keselamatan surau di kawasan pasaraya yang terpilih di daerah kajian di Sabah dalam aspek keselamatan kepada para pengguna mahupun orang awam khususnya. Antara yang diberi penekanan atau perhatian ialah persekitaran dan lokasi letakan surau dalam pasaraya. Hasil kajian mendapati bahawa lokasi peletakan surau yang terdapat di pasaraya boleh mengundang kepada berlakunya ancaman jenayah kerana kawasan surau yang terletak jauh daripada orang awam, tiada pengawalan keselamatan yang khusus dan juga kawasan surau yang tidak kondusif menjadi faktor utama kepada kejadian jenayah. Disebabkan itu, langkah yang progresif perlu dilakukan melalui kerjasama pihak pemegang taruh yang terlibat iaitu pihak pengusaha pasaraya, majlis perbandaran dan juga PDRM supaya konsep bandar selamat dapat direalisasikan di kawasan yang terlibat.










