Penerapan nilai Syariah dalam karya fiksyen Melayu: Kajian analisis kandungan novel Ajari Aku Tentang Rindu
Keywords:
Adnin Rosli, fiksyen Melayu, novel Melayu, sastera Islam, SyariahAbstract
Kajian ini bertujuan meneliti penerapan nilai syariah dalam novel Melayu kontemporari dengan menjadikan novel Ajari Aku Tentang Rindu karya Adnin Rosli sebagai teks kajian. Kajian ini dijalankan bagi mengenal pasti bentuk penerapan nilai syariah dalam novel tersebut serta menganalisis fungsi nilai syariah dalam pembinaan naratif karya. Kajian menggunakan pendekatan analisis kandungan melalui kaedah pembacaan dekat (close reading) terhadap teks novel dengan berpandukan kod-kod syariah yang dibangunkan berdasarkan prinsip keislaman yang terdapat dalam teori Takmilah dan prinsip keagamaan dalam teori Pengkaedahan Melayu. Kajian ini dianalisis menggunakan perisian ATLAS.ti 26.. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pengarang menerapkan prinsip syariah melalui pembinaan watak, dialog dan penyelesaian cerita secara tidak langsung tanpa menjejaskan perkembangan naratif. Selain berfungsi sebagai medium hiburan, novel ini turut berperanan sebagai wahana pendidikan yang menyampaikan nilai-nilai syariah kepada pembaca. Kajian ini memperlihatkan hubungan yang erat antara sastera dan syariah serta menyumbang kepada pemahaman yang lebih mendalam tentang peranan karya fiksyen dalam menyebarluaskan nilai-nilai Islam dalam masyarakat Melayu kontemporari. Dapatan kajian juga memperkukuh kedudukan sastera sebagai medium dakwah dan pendidikan yang berkesan dalam pembentukan pemikiran serta akhlak masyarakat.










