Ilmu asas peradaban: Menilai pengaruh qalb sebagai pusat ilmu menurut epistemologi Islam
Keywords:
Al-Quran, Hadith, Ilmu, Peradaban, QalbAbstract
Ilmu yang berakar dalam qalb yang sejahtera merupakan asas utama pembentukan peradaban, kerana daripadanya lahir kefahaman yang benar, penilaian yang adil, dan pengamalan adab yang membentuk tamadun manusia. Namun begitu, Ibn Qayyim menjelaskan qalb menentukan sama ada ilmu membawa kepada kebenaran atau kesesatan. Oleh yang demikian, bagaimana qalb bertindak dalam menentukan perkara tersebut. Justeru, artikel ini menganalisis pengaruh qalb terhadap hubungan tingkah laku dengan ilmu menurut epistemologi Islam. Metodologi kualitatif dengan pendekatan analisis dokumen digunakan dalam analisis ini. Data diperolehi melalui ayat al-Quran dan hadith yang mengandungi perkataan qalb. 100 sampel data set dari ayat al-Quran dan 100 sampel data set dari hadith telah diperolehi. Selepas proses saringan pertindihan dan pengulangan dilakukan, hanya 46 ayat al-Quran dan 68 hadith sebagai sampel kajian untuk dianalisis. Dapatan kajian menunjukan qalb mempunyai empat sifat iaitu qalb sebagai pelaksana, penggerak utama, entiti penerima dan pusat sifat. Empat sifat ini yang menghasilkan tingkah laku terhadap ilmu. Analisis ini telah mengkategorikan qalb kepada qalb sihat menerima kebenaran menyahut tuntutan ilmu dengan tepat, serta mampu mengeluarkan penilaian yang benar seperti fatwa dan keputusan yang sahih. Manakala qalb sakit menyebabkan kekeliruan dalam penilaian, kesilapan dalam memahami kebenaran serta ketidakupayaan membezakan antara yang hak dan batil. Dapatan ini menjelaskan bagaimana keadaan yang mendominasi qalb mempengaruhi pembentukan tingkah laku manusia terhadap ilmu. Kajian lanjutan disarankan meneroka pendekatan interdisiplin dengan menghubungkan konsep qalb dalam epistemologi Islam dengan dapatan neurosains berkaitan fungsi qalb dalam pembuatan keputusan, bagi memahami secara lebih mendalam peranan dimensi kerohanian tersebut terhadap ilmu.










