Manifestasi akal budi dalam "Kumpulan Puisi Remaja Cinta Allah" karya Hilmi Rindu
Keywords:
akal budi, kesusasteraan Melayu, ketuhanan, puisi Islamik, Teori Pengkaedahan MelayuAbstract
Puisi Melayu bergenre Islamik merupakan wadah penting dalam menzahirkan nilai-nilai peradaban dan ketamadunan Islam yang bersumberkan al-Quran dan hadith. Kajian ini bertujuan meneroka dan memetakan manifestasi akal budi secara menyeluruh dalam 14 buah puisi bertemakan Cinta Allah daripada “Kumpulan Puisi Remaja: Cinta Allah” karya Hilmi Rindu. Berlandaskan kerangka akal budi yang dikemukakan oleh Aminudin Mansor (2012) dan Supyan Hussin (2019), kajian ini menganalisis tujuh elemen utama akal budi yang bersandarkan acuan watan iaitu falsafah, agama, sejarah, pemikiran, budaya, emosi dan gaya hidup yang didasari dengan komponen teras akal, budi dan ilmu. Manifestasi akal budi terserlah menerusi elemen bahasa, bicara, perangai dan akhlak, serta hati dan jiwa seperti yang termaktub dalam kerangka konseptual akal budi kajian. Kajian ini turut diperkukuhkan dengan penganalisisan menerusi Teori Pengkaedahan Melayu (Hashim Awang, 1999) khususnya melalui Pengkaedahan Keagamaan yang merangkumi pendekatan dakwah, kemasyarakatan dan seni. Pendekatan kualitatif menerusi kaedah analisis kandungan diaplikasikan dengan menggunakan matriks analisis sistematik bagi memetakan setiap elemen dalam konsep akal budi merentas keseluruhan puisi yang dikaji. Dapatan kajian memperlihatkan bahawa kesemua 14 puisi secara konsisten memanifestasikan elemen agama, falsafah dan pemikiran sebagai elemen paling dominan, diikuti oleh emosi, manakala elemen sejarah dan gaya hidup kurang diserlahkan berbanding elemen lain. Kajian ini turut mendapati bahawa puisi-puisi karya Hilmi Rindu berfungsi sebagai wahana pendidikan rohani, cerminan budaya Islam dan medium dakwah kontemporari yang berkesan dalam membentuk peradaban Melayu-Islam. Sumbangan kajian ini terletak pada pembinaan matriks akal budi sebagai instrumen analisis baharu dalam kajian puisi Islamik, sekaligus memperkaya wacana kesusasteraan Melayu-Islam dalam konteks ketamadunan Islam sejagat.










