Islamisasi sastera: Analisis perbandingan pemikiran Affandi Hassan dan Muhammad Qutb
Keywords:
Mohd Affandi Hassan, Muhammad Qutb, sastera Arab, sastera Islam, sastera MelayuAbstract
Kajian ini membincangkan pandangan sastera Islam berdasarkan pemikiran dua tokoh sastera Islam yang hebat dan terkemuka, iaitu Mohd Affandi Hassan dari dunia Melayu dan Muhammad Qutb mewakili dunia sastera Islam Arab moden. Kajian ini menggunakan pendekatan kajian kualitatif melalui analisis kajian-kajian lepas untuk mengkaji penulisan kedua-dua penulis bagi mengenal pasti persamaan dan perbezaan pandangan dan pendekatan mereka dalam membincangkan konsep sastera Islam. Melalui kajian ini, penulis mendapati bahawa kedua-dua mereka berkongsi pendapat bahawa sastera Islam yang sebenar mestilah berpandukan Al-Quran dan Sunnah. Namun, Affandi Hassan lebih menfokuskan sastera yang berlandaskan ilmu, konsep taklif, manakala Muhammad Qutb lebih membincangkan hubungan sastera Islam dan alam serta peranan sastera sebagai alat dakwah bagi pembangunan insan. Walaupun kedua mereka berkongsi asas yang sama, terdapat perbezaan yang ketara dari segi pemikiran, pendekatan epistemologi dan pengaruh budaya masing-masing. Oleh itu, kajian ini dapat membantu dalam memperkayakan pemahaman masyarakat tentang teori sastera Islam dengan lebih mendalam, khususnya dari perspektif pemikiran Melayu dan Arab.










