Cerita rakyat Melayu dalam wacana kontemporari: Pemaknaan baharu dan pelestarian naratif tradisional
Keywords:
Cerita Rakyat Melayu, Pemaknaan Baharu, Pelestarian Naratif Tradisional, Teori Pengkaedahan Melayu, Wacana KontemporariAbstract
Cerita rakyat Melayu merupakan khazanah sastera tradisional yang mencerminkan pemikiran, nilai budaya dan pandangan alam masyarakat Melayu. Walau bagaimanapun perubahan sosial dan perkembangan teknologi masa kini telah menimbulkan cabaran terhadap kesinambungan cerita rakyat sebagai warisan yang dekat dengan generasi masa kini. Kajian ini bertujuan mengenalpasti pemaknaan baharu dalam cerita rakyat Melayu berdasarkan dua daripada tiga proses dalam Deskripsi Tekstual Tiga Proses Pengkisahan oleh A. Halim Ali (2012) iaitu penjernihan konsep dan pemaknaan baharu, kedua menganalisis pemaknaan baharu dalam teks cerita rakyat Melayu terpilih dalam konteks masyarakat kontemporari berdasarkan pendekatan moral dan pendekatan keagamaan dalam Teori Pengkaedahan Melayu oleh Hashim Awang (1989). Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui analisis teks terhadap dua cerita rakyat terpilih, iaitu Si Tanggang dan Mat Jenin. Dapatan kajian menunjukkan bahawa cerita rakyat Melayu bukan sekadar menyampaikan pengajaran moral tradisional, tetapi turut mengandungi wacana berkaitan watak, kemanusiaan, psikologi, hubungan sosial dan persoalan kehidupan masyarakat moden yang mana proses memberi pemaknaan baharu membolehkan naratif tradisional ditafsirkan semula berdasarkan keperluan semasa tanpa menghilangkan nilai budaya dan jati diri Melayu yang menjadi asas pembentukannya.










