Analisis fiqh kontemporari terhadap elemen perjudian dalam permainan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB)
A contemporary fiqh analysis of gambling elements in Mobile Legends: Bang Bang (MLBB)
Keywords:
Gacha, Kotak Rampasan, Perjudian, Maqasid Syariah, Mobile Legends: Bang BangAbstract
Kajian ini menganalisis status hukum syarak terhadap perjudian digital dalam permainan mudah alih Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), yang dilaksanakan menerusi mekanisme gacha dan kotak rampasan (Loot Box) sebagai wasilah perjudian tersebut. Objektif kajian adalah untuk meneliti dalil pengharaman judi daripada al-Quran dan al-Sunnah, menganalisis pandangan empat mazhab fiqh berdasarkan kitab muktamad, serta menghubungkannya dengan fatwa semasa di Malaysia melalui pendekatan tarjih dan Maqasid Syariah. Kajian ini berbentuk kualitatif menerusi kaedah analisis kandungan terhadap nas syarak, kitab turath, dan fatwa rasmi berkaitan sistem gacha dan mesin permainan bertaruh. Dapatan kajian menunjukkan bahawa mekanisme gacha seperti Magic Wheel dan Exquisite Collection dalam MLBB mengandungi unsur gharar fahish, qimar, dan maisir yang jelas, sehingga disepakati haram merentasi keempat-empat mazhab. Kajian turut mendapati bahawa fatwa rasmi sedia ada yang terpakai secara langsung terhadap mekanisme tikaman bertaruh dalam permainan video, termasuk Irsyad Hukum Siri Ke-626 Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang turut merangkumi mekanisme Diamond dalam MLBB, menyediakan asas hukum yang jelas bagi mengharamkan sistem gacha digital. Kajian ini diharap dapat menyumbang kepada kesedaran masyarakat serta menjadi rujukan bagi institusi fatwa dan pihak berkuasa agama dalam menangani isu perjudian digital dalam kalangan masyarakat.










