Transformasi institusi pengajian pondok sebagai mekanisme kelangsungan pendidikan Islam tradisional di Malaysia
Keywords:
Institusi pengajian pondok, pendidikan Islam tradisional, transformasi, kelangsungan institusiAbstract
Institusi pengajian pondok merupakan antara sistem pendidikan Islam tradisional yang telah memainkan peranan penting dalam penyebaran ilmu, pembentukan akhlak serta pembangunan modal insan Muslim di Malaysia sejak berabad-abad lamanya. Walau bagaimanapun, institusi ini berhadapan dengan pelbagai cabaran semasa seperti perubahan landskap pendidikan, perkembangan teknologi digital, persaingan dengan institusi pendidikan formal serta perubahan keperluan masyarakat yang menuntut pendekatan pendidikan yang lebih dinamik dan relevan. Justeru, kajian ini bertujuan untuk menganalisis bentuk-bentuk transformasi yang dilaksanakan oleh institusi pengajian pondok dalam memastikan kelangsungan fungsi dan peranannya sebagai pusat pendidikan Islam tradisional di Malaysia. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui kaedah analisis dokumen terhadap sumber primer dan sekunder yang berkaitan dengan perkembangan institusi pondok selain meneliti kajian-kajian terdahulu mengenai transformasi pendidikan Islam. Hasil kajian mendapati bahawa transformasi institusi pondok berlaku dalam beberapa dimensi iaitu pemodenan sistem pengurusan, pengintegrasian teknologi digital dalam proses pengajaran dan pembelajaran, penambahbaikan kurikulum, pengukuhan jaringan kerjasama dengan agensi kerajaan serta menstrukturkan sumber kewangan. Walaupun mengalami pelbagai perubahan, institusi pondok masih mengekalkan elemen terasnya seperti sistem talaqqi, pengajian kitab turath, pembentukan adab dan hubungan guru-murid yang menjadi identiti pendidikan Islam tradisional. Kajian ini merumuskan bahawa transformasi yang bersifat seimbang antara pemeliharaan tradisi serta pembaharuan mengikut arus semasa merupakan mekanisme penting dalam menjamin kelangsungan institusi pengajian pondok sebagai warisan pendidikan Islam yang terus relevan. Implikasi kajian ini diharapkan dapat menjadi rujukan kepada pihak berkepentingan dalam merangka dasar dan strategi pembangunan institusi pondok yang lebih mampan pada masa hadapan.










