Konsep imarah sebagai asas pembangunan dan pengurusan alam bina Islam
Keywords:
Imarah, Alam Bina Islam, Khalifah, Kelestarian AlamAbstract
Artikel ini membincangkan konsep imarah sebagai asas pembangunan dan pengurusan alam bina Islam berteraskan pandangan semesta Islam yang menekankan hubungan manusia dengan Allah SWT, sesama manusia dan alam sekitar. Dalam Islam, pembangunan tidak hanya tertumpu kepada aspek fizikal dan material semata-mata, bahkan turut melibatkan pembangunan spiritual, sosial, moral dan kelestarian alam. Sehubungan itu, konsep imarah dilihat sebagai satu kerangka penting dalam membentuk pengurusan alam bina yang seimbang, holistik dan berteraskan syariah. Kajian ini bertujuan menghuraikan konsep imarah menurut perspektif Islam serta menganalisis peranannya dalam pembangunan dan pengurusan alam bina Islam. Kajian menggunakan pendekatan kualitatif dengan reka bentuk analisis konseptual dan analisis dokumen melalui penelitian terhadap sumber primer seperti al-Quran dan hadis serta sumber sekunder seperti buku, artikel jurnal dan karya sarjana berkaitan. Hasil kajian mendapati bahawa konsep imarah berasaskan prinsip tauhid, khilafah, amanah, keadilan dan keseimbangan yang menjadi panduan dalam pembangunan alam bina Islam. Konsep ini turut menekankan aspek pemeliharaan alam sekitar, kesejahteraan sosial, pengurusan estetika dan tadbir urus berintegriti dalam pembangunan. Kajian merumuskan bahawa konsep imarah mampu menjadi asas alternatif kepada pendekatan pembangunan moden yang cenderung bersifat materialistik dan sekular, sekali gus menyumbang kepada pembentukan pembangunan alam bina yang lestari, harmoni dan menepati kehendak syariah..










