Isu-isu fiqh perburuan dalam kalangan masyarakat Islam Orang Asli: Satu analisis tematik
Keywords:
Fiqh perburuan, Orang Asli, analisis tematik, hukum Islam, masyarakat Islam Orang AsliAbstract
Perburuan merupakan antara aktiviti tradisional yang masih diamalkan oleh sebahagian masyarakat Orang Asli di Malaysia sebagai sumber makanan dan kelangsungan hidup. Walau bagaimanapun, pengislaman masyarakat Orang Asli telah mewujudkan beberapa persoalan hukum yang memerlukan penelitian berdasarkan prinsip-prinsip syariah. Kajian ini bertujuan mengenal pasti isu-isu fiqh perburuan yang berlaku dalam kalangan masyarakat Islam Orang Asli berdasarkan pengalaman dan pemerhatian penggerak masyarakat Orang Asli serta mubaligh yang terlibat secara langsung dalam aktiviti dakwah. Kajian menggunakan pendekatan kualitatif dengan reka bentuk kajian kes. Data dikumpulkan melalui temu bual separa berstruktur dan dianalisis menggunakan kaedah analisis tematik. Dapatan kajian mengenal pasti lima isu utama fiqh perburuan iaitu pemburu tidak membaca basmalah ketika melepaskan alat perburuan, penglibatan pemburu bukan Islam dan perkongsian hasil buruan, haiwan buruan yang masih hidup tetapi tidak disembelih, anjing buruan yang memakan sebahagian hasil tangkapan serta status gigitan dan air liur anjing buruan. Kajian mendapati bahawa isu-isu tersebut berpunca daripada pengaruh amalan tradisi, keterbatasan pengetahuan agama dan realiti kehidupan masyarakat Orang Asli yang masih bergantung kepada sumber hutan sebagai sumber makanan. Dapatan kajian menunjukkan keperluan kepada bimbingan hukum yang lebih sistematik dan bersesuaian dengan konteks kehidupan masyarakat Islam Orang Asli. Kajian ini diharapkan dapat menyumbang kepada usaha memperkukuhkan pendidikan fiqh dan dakwah dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Malaysia.










