Ijtihad pentadbiran dalam penetapan nisab zakat harta berasaskan emas: Analisis fiqh, ekonomi dan tatakelola institusi zakat di Malaysia
Keywords:
Nisab, Zakat Harta, Emas, Ijtihad Pentadbiran, Qawāʿid Fiqhiyyah, Maqāṣid Al-Sharīʿah, Tatakelola ZakatAbstract
Penetapan nisab zakat harta berasaskan emas merupakan isu fiqh dan tatakelola yang semakin signifikan dalam konteks volatiliti harga emas global dan kepelbagaian amalan institusi zakat di Malaysia. Dari sudut syarak, nisab emas mempunyai asas normatif yang tetap, iaitu 20-dinar atau 20 mithqal, yang lazimnya diterjemahkan dalam ukuran moden sebagai 85-gram emas. Namun begitu, cabaran kontemporari tidak terletak pada perubahan kadar nisab syarak, sebaliknya pada metodologi pentadbiran untuk menukar nilai 85-gram emas kepada mata wang semasa secara stabil, telus dan boleh dipertanggungjawabkan. Artikel ini menganalisis konsep ijtihad pentadbiran dalam penetapan nisab zakat harta berasaskan emas melalui tiga lensa utama, iaitu fiqh zakat, ekonomi emas dan tatakelola institusi zakat. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif berasaskan analisis dokumen terhadap teks fiqh, fatwa kontemporari, qawāʿid fiqhiyyah, sumber harga emas global, serta amalan institusi zakat di Malaysia. Dapatan menunjukkan bahawa nisab emas berada pada wilayah thawābit al-sharʿ, manakala mekanisme penilaian seperti harga harian, purata tahunan, purata bergerak dan ambang hibrid berada pada wilayah mutaghayyirāt al-tadbīr. Artikel ini mencadangkan Model Ambang Hibrid sebagai kerangka pentadbiran yang menggabungkan keteguhan nas, kestabilan ekonomi, ketelusan institusi dan perlindungan maslahah asnaf serta muzakki. Sumbangan artikel ini terletak pada pembentukan kerangka integratif bagi membezakan antara nisab sebagai kadar syarak yang tetap dengan formula penilaian sebagai ijtihad pentadbiran yang boleh disemak berdasarkan maslahah.










