Keberkesanan kaedah pengajaran Facebook dan WhatsApp bagi meningkatkan minat pelajar tingkatan 4 dalam subjek Ekonomi
Keywords:
Facebook, WhatsApp, Media Sosial, Minat pelajar, Kuasi Eksperimen, Pengajaran dan Pembelajaran EkonomiAbstract
Penggunaan media sosial dalam pendidikan semakin mendapat perhatian sebagai medium yang dapat menyokong proses pengajaran dan pembelajaran. Kajian ini bertujuan menilai keberkesanan kaedah pengajaran dan pembelajaran Facebook dan WhatsApp dalam meningkatkan minat dan pencapaian pelajar Tingkatan Empat dalam subjek Ekonomi berbanding kaedah pengajaran dan pembelajaran konvensional. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif berbentuk kuasi eksperimen yang melibatkan 80 orang pelajar yang dibahagikan kepada kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan. Data dikumpul menggunakan pra ujian, pasca ujian dan soal selidik, kemudian dianalisis menggunakan analisis min, ujian-t dan ANCOVA. Hasil kajian menunjukkan bahawa penggunaan Facebook dan WhatsApp memberikan kesan yang signifikan terhadap minat pelajar untuk terlibat secara aktif dalam pembelajaran Ekonomi. Selain itu, pencapaian akademik pelajar dalam kumpulan eksperimen turut menunjukkan peningkatan berbanding kumpulan kawalan. Dapatan kajian membuktikan bahawa integrasi media sosial dalam pengajaran dan pembelajaran dapat meningkatkan penglibatan serta minat pelajar terhadap subjek Ekonomi. Kajian ini memberikan implikasi kepada pendidik dalam memanfaatkan media sosial sebagai platform pembelajaran yang lebih interaktif dan berkesan.










