Gamifikasi berasaskan visual dalam pembelajaran: Sorotan integratif tentang proses kognitif, motivasi dan pencapaian murid
Keywords:
Gamifikasi Berasaskan Visual, Proses Kognitif, Motivasi, Pencapaian Murid, Sorotan IntegratifAbstract
Gamifikasi semakin mendapat perhatian dalam pendidikan digital kerana berpotensi menjadikan pembelajaran lebih interaktif, visual dan berpusatkan murid. Namun, perbincangan tentang gamifikasi sering tertumpu kepada peningkatan keseronokan, motivasi dan pencapaian, sedangkan penjelasan tentang bagaimana elemen visual dalam gamifikasi menyokong proses kognitif murid masih belum diperincikan secara menyeluruh. Sehubungan itu, artikel ini bertujuan mensintesis literatur berkaitan gamifikasi berasaskan visual dalam pembelajaran serta mencadangkan kerangka konseptual yang menghubungkan elemen visual gamifikasi dengan proses kognitif, motivasi dan pencapaian murid. Artikel ini menggunakan pendekatan sorotan integratif terhadap 20 artikel jurnal berwasit yang diterbitkan antara tahun 2022 hingga 2026. Pemilihan artikel dibuat berdasarkan kesesuaian fokus terhadap gamifikasi, elemen visual, proses kognitif, motivasi, pencapaian dan kecenderungan pembelajaran visual. Analisis tema digunakan untuk mengenal pasti pola dapatan, hubungan antara konstruk dan jurang penyelidikan semasa. Dapatan sorotan menunjukkan bahawa elemen seperti mata ganjaran, lencana, papan kemajuan, cabaran, maklum balas segera, ikon, warna dan representasi visual berpotensi menyokong perhatian, pemprosesan maklumat, keterlibatan kognitif dan motivasi pembelajaran. Walau bagaimanapun, keberkesanan gamifikasi berasaskan visual bergantung kepada kesepadanan antara reka bentuk visual, matlamat pedagogi dan keperluan murid. Berdasarkan sintesis tersebut, artikel ini mencadangkan kerangka konseptual gamifikasi berasaskan visual sebagai asas kepada reka bentuk pembelajaran yang lebih berstruktur, beretika dan berimpak terhadap pencapaian murid.










