Kemahiran pemikiran sejarah dalam memperkukuh kemahiran berfikir aras tinggi murid sekolah menengah ke arah aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035
Keywords:
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), Kemahiran Pemikiran Sejarah (KPS), Pedagogi Inkuiri, Pendidikan Sejarah, Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035Abstract
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) merupakan antara fokus utama dalam Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 bagi melahirkan murid yang berfikiran kritis, kreatif dan berupaya membuat pertimbangan secara rasional. Dalam konteks pendidikan Sejarah, Kemahiran Pemikiran Sejarah (KPS) berperanan sebagai mekanisme pedagogi yang mampu mengoperasikan KBAT melalui proses analisis, interpretasi dan penilaian berasaskan bukti sejarah. Kertas konseptual ini bertujuan membincangkan peranan KPS dalam memperkukuh KBAT murid sekolah menengah selaras dengan aspirasi RPM 2026–2035. Perbincangan berasaskan analisis literatur semasa berkaitan pendidikan Sejarah, pemikiran sejarah dan KBAT. Dapatan analisis menunjukkan bahawa lima elemen utama KPS, iaitu memahami kronologi, meneroka bukti, membuat interpretasi, membuat imaginasi dan membuat rasionalisasi mempunyai hubungan yang signifikan dengan domain KBAT yang melibatkan kemahiran menganalisis, menilai dan mencipta. Penguasaan KPS membolehkan murid menilai kesahihan sumber, membina hujah berasaskan evidens, memahami pelbagai perspektif sejarah serta menghasilkan pertimbangan yang lebih rasional terhadap isu sejarah dan semasa. Walau bagaimanapun, pelaksanaan KPS masih berhadapan dengan cabaran seperti amalan pedagogi berorientasikan hafalan, kekangan masa, keterbatasan sumber pembelajaran dan tahap kompetensi guru yang berbeza. Sehubungan itu, pemerkasaan pedagogi berasaskan inkuiri, penggunaan sumber sejarah autentik, pentaksiran berorientasikan KBAT dan integrasi teknologi digital perlu diperkukuh bagi memastikan KPS dapat berfungsi secara optimum dalam melahirkan murid yang berfikiran kritis, reflektif dan berdaya saing.










