Motivasi, sikap dan persepsi guru terhadap pemansuhan peperiksaan awam
Keywords:
pemansuhan peperiksaan awam, motivasi guru, sikap guru, persepsi guru, reformasi pentaksiranAbstract
Pemansuhan peperiksaan awam merupakan salah satu reformasi pentaksiran dalam sistem pendidikan yang bertujuan mengurangkan budaya pembelajaran berorientasikan peperiksaan dan memperkukuh pentaksiran holistik. Walau bagaimanapun, kejayaan pelaksanaannya amat bergantung kepada penerimaan guru sebagai pelaksana dasar pada peringkat sekolah. Kajian ini bertujuan untuk menganalisis tahap motivasi, sikap dan persepsi guru terhadap pemansuhan peperiksaan awam serta menentukan sama ada terdapat perbezaan yang signifikan dalam motivasi berdasarkan jantina. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif berbentuk tinjauan melibatkan 168 orang guru di negeri Perlis sebagai responden. Data dikumpulkan melalui soal selidik berstruktur dan dianalisis menggunakan statistik deskriptif dan inferensi, iaitu ujian-t sampel bebas. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap motivasi, sikap dan persepsi guru terhadap pemansuhan peperiksaan awam berada pada tahap sederhana. Analisis inferensi pula mendapati bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan dalam motivasi guru berdasarkan jantina. Dapatan ini menunjukkan bahawa guru masih berada dalam fasa penyesuaian terhadap reformasi pentaksiran tersebut dan faktor jantina bukan penentu utama dalam membentuk motivasi mereka. Implikasi kajian ini mencadangkan keperluan sokongan profesional, latihan yang berterusan serta penjelasan dasar yang konsisten bagi meningkatkan tahap penerimaan dan keyakinan guru terhadap pelaksanaan sistem pentaksiran alternatif.










