Kepimpinan distributif dan efikasi kendiri guru dalam kecemerlangan sekolah era digital: Sorotan literatur sistematik berfokus
Keywords:
kepimpinan distributif, efikasi kendiri guru`, kecemerlangan sekolah, inovasi pedagogi, era digitalAbstract
Kajian ini bertujuan mensintesis literatur secara sistematik berkaitan peranan kepimpinan distributif dan efikasi kendiri guru dalam memacu kecemerlangan sekolah era digital. Kajian menggunakan reka bentuk sorotan literatur sistematik berfokus berpandukan garis panduan PRISMA 2020. Sebanyak 89 rekod dikenal pasti melalui pangkalan data Scopus, MyJurnal, MyTO dan carian teks penuh tambahan. Setelah melalui proses penyingkiran rekod pendua, saringan dan penilaian kelayakan, enam sumber utama dipilih untuk sintesis berdasarkan kesepadanan dengan fokus kajian. Dapatan menunjukkan bahawa kepimpinan distributif meningkatkan efikasi kendiri guru melalui autonomi profesional, budaya kolaboratif, sokongan kepimpinan dan penglibatan dalam proses membuat keputusan. Efikasi kendiri guru didapati berfungsi sebagai mekanisme yang menghubungkan amalan kepimpinan dengan inovasi pedagogi, penggunaan teknologi secara bermakna dan kecemerlangan sekolah. Kajian ini turut mencadangkan satu kerangka konseptual yang mengintegrasikan kepimpinan distributif, efikasi kendiri guru, inovasi pedagogi dan teknologi serta kecemerlangan sekolah dalam konteks era digital. Secara keseluruhannya, dapatan kajian memperkukuh pemahaman tentang kepentingan kepimpinan kolaboratif dan pembangunan kapasiti guru sebagai asas kepada transformasi pendidikan yang inovatif, beretika dan berintegriti serta menjadi rujukan kepada pemimpin sekolah, guru dan pembuat dasar dalam merancang strategi penambahbaikan organisasi pendidikan.










